26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Jemaah Menteri putuskan mansuh SOSMA

Semasa
Typography
Oleh Norhafzan Jaafar & Suhaila Ali
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada peringkat akhir merumuskan cadangan pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sebelum diserahkan kepada Jemaah Menteri.

Kabinet akan berbincang dan memutuskan sama ada cadangan itu akan dibentangkan dalam sidang Parlimen bermula pertengahan bulan depan.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata jawatankuasa khas ditubuhkan kementerian itu sudah mengadakan siri mesyuarat bagi mengkaji kebaikan dan kelemahan memansuhkan akta berkenaan.

“Kami sedang mengumpulkan pandangan yang dibangkitkan pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Majlis Peguam Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain, sebelum rumusannya dibawa dan diputuskan pada peringkat Kabinet.

“Jawatankuasa khas yang dipengerusikan saya sendiri ini menyasarkan tempoh tiga bulan bagi membolehkan rumusan akhir diserahkan sebelum sebarang keputusan pindaan dibuat oleh kerajaan,” katanya di sini, hari ini.

SOSMA digubal bertujuan membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara, termasuk ancaman rentas sempadan demi mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Akta ini diluluskan di Parlimen pada 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Mengikut SOSMA, seseorang pegawai polis boleh, tanpa waran, menangkap dan menahan mana-mana tahanan selama 24 jam sahaja dan melanjutkan tempoh penahanan tidak lebih 28 hari untuk siasatan.

Ketika ditanya tindakan Timbalan Pendakwa Raya meminda pertuduhan terhadap 57 ahli Kumpulan Jenayah Terancang (KJT), Geng 360 Kajang Devan yang sebelum itu ditahan di bawah SOSMA kepada Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman lebih ringan, Alwi berkata, keputusan pindaan kes itu tidak ada kaitan dengan cadangan memansuhkan SOSMA.

Beliau berkata, tindakan itu ialah keputusan yang dibuat Pejabat Peguam Negara.

“Sebarang tindakan atau pengkuatkuasaan membabitkan kesalahan keselamatan masih sama seperti mana diperuntukkan dalam akta SOSMA sedia ada sehingga pindaan atau keputusan memansuhkannya dibuat oleh kerajaan nanti,” katanya.