26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

PDRM sudah kenal pasti lokasi Jho Low

Semasa
Typography

NURUL KHAIRIAH MOHAMED YUSOF 

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah mengenal pasti lokasi sebenar ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho ataupun lebih dikenali sebagai Jho Low.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan lokasi itu atas faktor keselamatan.

“Pihak PDRM perlu berbincang dengan pihak berkuasa negara terlibat kerana ia melibatkan kedaulatan negara berkenaan.

“Kita tidak boleh sesuka hati menghantar pasukan untuk menahannya di sana sebaliknya kita perlu ada persetujuan bersama dari negara yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Kosmo! Online pada 11 Julai lalu melaporkan ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Low dipercayai sudah meninggalkan Macau, namun lokasi terbaharunya belum diketahui.

Memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak polis menerima maklumat mengatakan Jho Low, 37, telah meninggalkan Macau melalui e-mel daripada pihak berkuasa negara berkenaan. - K! ONLINE