26
Rab, Sep
101 ARTIKEL BARU

Isteri CEO Cradle Fund dibebaskan

Semasa
Typography

AKMAL AZIZ

KUALA LUMPUR - Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran di rumahnya pada Jun lalu telah dibebaskan selepas tempoh tahanan remannya tamat hari ini.

Wanita berkenaan, Samirah Muzaffar, 43, yang sebelum ini disambung reman selama tiga hari bermula Selasa lalu sehingga hari ini telah dibebaskan kira-kira pukul 9.05 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini.

Terdahulu, Samirah direman polis pada 4 September lalu selama tujuh hari sebelum disambung reman tiga hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Peguam yang mewakilinya, LS Leonard mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi sebentar tadi.

“Tempoh remannya telah tamat pada hari ini dengan jaminan polis. Sepatutnya, dia dibebaskan sekitar pukul 5 petang tadi namun sedikit lewat berikutan terdapat beberapa kertas kerja yang perlu diselesaikan.

“Buat masa sekarang tiada sebarang pendakwaan dan tuduhan yang dibuat ke atasnya,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan isteri kepada CEO Cradle Fund Sdn. Bhd. itu dan bekas suami kepada wanita berkenaan ditahan reman seminggu bermula 4 September sehingga 10 September bagi membantu siasatan berhubung kematian CEO itu yang mayatnya di­temui terbakar di rumahnya pada Hari Raya Aidilfitri 14 Jun lalu. - K! ONLINE