18
Kha, Okt
51 ARTIKEL BARU

Konon kena samun, rupa-rupaya...

Semasa
Typography

JASIN - Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membuat laporan palsu menyatakan dirinya disamun.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, lelaki berkenaan, seorang penyelenggara alat penghawa dingin ditahan ketika tampil ke Balai Polis Sungai Rambai, petang semalam.

“Pada jam 7 petang semalam pengadu telah datang ke Balai Polis Sungai Rambai bersama abangnya mendakwa kononnya dia disamun dua lelaki bertopeng ketika berada seorang diri di rumahnya di alamat Taman Chempaka, Sungai Rambai, Jasin, Melaka, pada 17 September lalu.

“Dia mendakwa dua lelaki bertopeng itu telah mengikat dan menutup mulutnya dengan pita pelekat serta melarikan wang tunai berjumlah RM140,” katanya.

Menurut Arshad, siasatan lanjut pihak polis akhirnya mendedahkan pengadu telah membuat laporan palsu disebabkan wang yang diberikan oleh abangnya telah dihabiskan untuk kegunaan sendiri.

“Semakan lanjut juga mendapati pengadu mempunyai satu kes rekod lampau di bawah penyalahgunaan dadah.

“Pengadu juga sanggup membeli tali dan pita pelekat di kedai berhampiran untuk menunjukkan seolah-olah kejadian itu benar-benar berlaku,” katanya.

Jelasnya lagi, ini bukanlah kejadian yang pertama kali berlaku dan sepanjang tahun ini sudah tiga kes membabitkan laporan polis palsu dibuat.

“Saya ingin mengingatkan orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya membuat laporan polis palsu demi kepentingan diri.

“Kesannya akan mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat,” katanya.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi, membuat maklumat atau laporan kepada polis secara tidak benar dan boleh dikena hukuman denda sehingga RM2,000 atau enam bulan penjara.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.