18
Kha, Okt
51 ARTIKEL BARU

Rosmah dijangka berdepan 20 pertuduhan jenayah

Semasa
Typography
Oleh Wartawan NSTP
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
 

KUALA LUMPUR:Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram dalam tempoh terdekat, selepas siasatan terhadapnya yang bermula dua tahun lalu, dibuka semula.

NSTP difahamkan, pasukan penyiasat sudah melengkapkan kelompangan dalam siasatan mereka terhadap isteri Datuk Seri Najib Razak itu, baru-baru ini.

Difahamkan, pasukan penyiasat membuka semula fail membabitkan Rosmah, 66, sejak tiga bulan lalu sejurus tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN).

Siasatan khusus itu menjurus kepada dakwaan sumber dana mencurigakan, mengaitkan suaminya yang sebelum ini menemui jalan buntu.

Rosmah pernah disoal siasat lebih tiga jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Jun lalu. Difahamkan soal siasat itu berkaitan siasatan terhadap bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd.

NSTP difahamkan satu daripada pertuduhan itu bakal menarik perhatian ramai iaitu membabitkan pembelian produk hormon anti-penuaan bernilai lebih RM1 juta dari Amerika Syarikat (AS).

Difahamkan, kehadiran Rosmah yang juga bekas Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) sejak 2009 sehingga Najib disingkirkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu, hadir ke ibu pejabat SPRM baru-baru ini disebabkan penyiasat percaya dana daripada SRC digunakan untuk membeli produk berkenaan.

Produk itu dikatakan mampu meningkatkan kadar hormon lebih 600 peratus, jika diambil secara berterusan.

Mereka yang pernah menggunakan produk itu mendakwa ia menambah baik tenaga dalaman, tidur yang lebih baik, meningkatkan keinginan seksual, mengurangkan berat badan, menguatkan otot dan memperbaiki sel kulit.

Menurut sumber, cek bayaran lebih RM1 juta dibuat kepada seorang doktor bergelar Datuk pada Februari 2015 bagi pembelian dua set ubat bernilai RM500,000 setiap satu.

Akaun dipercayai ditutup

Malah, cek yang diserahkan kepada doktor terbabit turut tertera nombor akaun sama dengan akaun bank AmIslamic milik Najib yang sudah ditutup sebelum ini.

Akaun terbabit dipercayai ditutup beberapa minggu selepas bayaran dibuat.

Ketika disoal siasat, doktor berkenaan memberitahu cek terbabit adalah untuk pembelian dua set ubat.

Produk lain yang dibeli dipercayai 100 peratus makanan berasaskan tumbuhan bagi merangsang badan manusia untuk mengekalkan keremajaan dan daya hidup.

Difahamkan, terdapat sekeping cek bernilai RM100,000 yang dibayar kepada sebuah syarikat pada Februari 2015 bagi kerja pembinaan sebuah rumah di Taman Duta.

Rumah berkenaan adalah kediaman peribadi Najib dan isterinya. Difahamkan pembayaran itu dibuat selepas selesai pembinaan pos penjaga keselamatan dan lain-lain lagi.

NSTP juga difahamkan, doktor yang pernah menjadi bekas Naib Presiden sebuah pertubuhan dalam bidangnya, meletak jawatan bagi mengelak pertubuhan itu diheret dalam kancah kontroversi.

Najib sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan mengikut Akta SPRM 2009 membabitkan wang berjumlah RM42 juta.

Sumber memberitahu, Najib dijangka berdepan lebih banyak pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram hujung bulan ini.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.