11
Sel, Dis
28 ARTIKEL BARU

Presiden, MT Umno kena cari punca

Semasa
Typography

SHAH ALAM - Kini tiba masanya untuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan tertinggi kepimpinan Umno untuk kaji semula hala tuju parti Melayu itu setelah menjalin hubungan dengan Pas.

Penganalisis Politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood membangkitkan persoalan adakah hala tuju Umno telah berubah selepas mereka menyantuni Pas.

“Adakah hala tuju Umno telah berubah apabila mereka menyantuni Pas? Itu soalan penting untuk Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) Umno kena cari.

“Cari jawapan ini dulu, pelbagai spekulasi wujud. Adakah pemimpin-pemimpin yang keluar Umno akan masuk parti lain? Itu juga amat penting sebagai petunjuk,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kerjasama Umno dan Pas khabarnya memang telah wujud sebelum PRU14 lagi, jadi untuk simpulkan ia menjadi punca mereka meninggalkan Umno mungkin tidak begitu kuat.

“Namun apabila kalah PRU14, BN dan Pas kerjasama dalam tiga siri pilihan raya kecil (PRK) dan terkini Umno berada dalam Muktamar Pas serta kenyataan-kenyataan mengenai kerjasama oleh kedua-dua parti disusuli dengan pemimpin-pemimpin Umno ini keluar, maka ia menunjukkan satu sebab musabab yang agak ketara.

“Sama ada lebih ramai lagi yang akan angkat kaki meninggalkan Umno, kita tunggu dan lihat,” ujarnya.

Tegas Nik Ahmad Kamal tiada jalan keluar lain untuk Umno selain daripada mencari punca utama mereka ini bertindak sedemikian, sama ada sebab Pas atau sebab lain.

Rekod terkini mencatatkan lima ahli Parlimen Umno yang telah meninggalkan parti itu menjadikan jumlah 49 orang sahaja.

Lima ahli Parlimen Umno yang meninggalkan parti itu antaranya, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed,Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.