18
Kha, Okt
51 ARTIKEL BARU

Pendakwaan mohon tujuh kes Najib dibicarakan di Istana Kehakiman

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Pasukan pendakwaan memohon perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, dijalankan di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Sulaiman Abdullah yang dilantik oleh Peguam Negara untuk mengetuai barisan pendakwaan semasa sebutan semula kes itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sulaiman yang juga merupakan peguam terkemuka berkata, permohonan itu dibuat bagi memastikan perbicaraan kes itu berjalan lancar termasuk mengelak sebarang kesulitan.

"Di Istana Kehakiman, mempunyai kawalan yang ketat dan akses yang terhad sekaligus boleh mengelak kesesakan sekitar kawasan mahkamah. Selain itu, kebanyakan saksi-saksi pendakwaan juga berada di sekitar Putrajaya," katanya.

Sehubungan itu, Sulaiman berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim berhubung permohonan itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib tidak membantah permohonan pihak pendakwaan tersebut.

Muhammad Shafee turut memohon Sulaiman yang dilantik oleh Peguam Negara Tommy Thomas secara ‘fiat’ (kebenaran rasmi) untuk mengemukakan surat pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya yang baharu.

Beliau berkata pihak pembelaan mahu mendapatkan salinan surat pelantikan itu bagi mengenal pasti sama ada pelantikan itu dibuat di bawah Seksyen 376, 377 atau 379 Kanun Acara Jenayah kerana ia adalah prosedur standard untuk memaklumkan kepada mahkamah berhubung pelantikan itu.

Namun Sulaiman membantah pemohonan Muhammad Shafee itu dengan alasan surat pelantikan tersebut adalah rahsia rasmi kerajaan.

Muhammad Shafee juga memohon pihak pendakwaan mengemukakan semua dokumen berkaitan kes itu dalam bentuk salinan cetak (hardcopy) dan bukannya melalui cakera padat (CD).

“Beri kami dokumen dalam bentuk kertas. Banyak dokumen tidak dapat dibaca dalam format CD. Beri kami secara biasa, secara tradisi bagi menghilangkan kearguan saya," kata beliau..

Sulaiman kemudian berkata pihaknya akan menyediakan dokumen yang dimohon namun ia akan mengambil sedikit masa.

Hakim Mohd Nazlan yang mendengar hujahan kedua-dua pihak selama sejam berkata, perkara itu akan dibincangkan pada pengurusan kes yang akan datang dan menetapkan menetapkan 31 Oktober untuk pengurusan kes.

Terdahulu Najib, 65, yang memakai kot serba biru kelihatan tenang dan banyak menundukkan kepalanya sepanjang berada di kandang tertuduh dan ketika masuk ke bilik bicara pada jam 9.06 minit pagi, beliau tanpa menyapa sesiapa terus menuju ke kandang tertuduh.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya, berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Mengikut pertuduhan pertama, Perdana Menteri keenam itu didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti tersebut diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Najib dituduh melakukan perbuatan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen serupa.

Pertuduhan keempat, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia telah mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 8 Ogos lalu, Najib turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, atas tiga pertuduhan pengubahan wang yang sama (RM42 juta) dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities ("Rentas") dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

 

-- BERNAMA

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.