18
Ahd, Nov
46 ARTIKEL BARU

'Cukup-cukuplah salah Najib, pimpinlah Malaysia'

Semasa
Typography

“CUKUP-CUKUPLAH dengan ‘salah Najib’ dan ‘ini semua salah BN’. Akui kelemahan dan kegagalan PH (Pakatan Harapan) sendiri, perbetulkannya dan pimpinlah Malaysia,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri berharap kerajaan berhenti daripada terus mencari kesalahan dirinya dan pentadbiran terdahulu, sebaliknya memberi fokus untuk menyelamatkan ekonomi negara.

Beliau berkata demikian menerusi status dan video yang dimuat naik di laman sosial Facebook hari ini.

Menerusi klip video berkenaan, Najib membangkitkan beberapa isu termasuk pertumbuhan ekonomi negara yang didakwa semakin menguncup berbanding di zaman Barisan Nasional (BN).

Malah katanya, kejatuhan nilai ringgit, pengangguran dan penurunan jumlah kedatangan pelancong semakin ketara.

“Kesimpulannya, saya berharap kecenderungan kerajaan PH untuk menyalahkan saya dan kerajaan BN tidak lagi menjadi pendekatan mereka.

“Sepatutnya seluruh perhatian dan tenaga mereka digunakan untuk menyelamatkan ekonomi negara, bagaimana kita boleh melindungi kepentingan rakyat, bagaimana kita boleh menghadapi persekitaran ekonomi yang lebih mencabar ini,” katanya.

Video yang berdurasi selama 10 minit itu beliau antara lain memperkatakan sejak PH mengambil alih kerajaan, rakyat masih belum melihat dengan jelas hala tuju pentadbiran negara khususnya dalam pengurusan ekonomi.

Katanya, BN berjaya mencapai kadar pertumbuhan ekonomi 5.9 peratus pada 2017, manakala kadar pertumbuhan purata dalam tempoh sembilan tahun mencecah 5.254 peratus sepanjang beliau menjadi perdana menteri.

“Sejak PH berkuasa semua ramalan dan andaian menunjukkan bahawa trend semakin lemah dan menguncup.

“Seperti pada tahun ini dijangka ekonomi akan berkembang hanya dalam kadar 4.5 peratus. Pada tahun hadapan ia akan menunjukkan trend yang semakin lemah,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut bimbang dengan ramalan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde bahawa tahun 2019 akan menjadi tahun yang mencabar kerana ketidaktentuan perdagangan antabarangsa yang akan memberi tekanan ke atas ekonomi negara-negara seperti Malaysia.

Mengulas tentang nilai Ringgit pula, Najib berkata nilai mata wang itu semakin jatuh iaitu kini pada paras RM4.14 berbanding Dolar.

“BN akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif. Kita tidak ada niat melainkan mengetengahkan pandangan dan buah fikiran supaya menjadi pembangkang yang membina.

“Kita boleh lihat amalan demokrasi berparlimen yang sihat di negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya lagi.