18
Ahd, Nov
46 ARTIKEL BARU

Pemain industri disaran lebih proaktif

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Pemain industri perlu memainkan peranan bagi mendakap produk pelancong berinovatif supaya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pengusaha pelancongan mesti bertanya sama ada mereka mempunyai rancangan strategik bagi menarik pelancong ke negara ini dan bersedia menawarkan yang terbaik bagi memenuhi citarasa pelancong dari pelbagai negara.

”Memajukan industri pelancongan di Malaysia merupakan satu perkongsian antara kerajaan dan sektor swasta. Saingan sihat antara satu sama lain juga penting dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang terbaik,” katanya berucap merasmikan jamuan malam gala Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia 2018 di Palace of the Golden Horses di Seri Kembangan, dekat sini, malam tadi.

Beliau menjelaskan pentingnya pengusaha pelancongan menambah nilai dan memberi kelainan kepada tawaran produk masing-masing di samping meningkatkan promosi agar lebih menarik, komprehensif dan berdaya saing.

Beliau menegaskan bahawa dalam era digital ini, Malaysia tidak lagi dapat mempromosikan potensi bidang pelancongan negara menerusi kaedah konvensional.

Dr Wan Azizah berkata pengusaha pelancongan perlu mengamalkan keadah yang lebih kreatif dan proaktif dengan menggunakan sepenuhnya media sosial, laman perkongsian penginapan dan aplikasi mudah alih bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Beliau berkata industri pelancongan menjadi penyumbang pertukaran asing kedua terbesar kepada negara dengan mencatatkan ketibaan 25.9 juta pelancong dan menjana pendapatan sebanyak RM82.2 bilion tahun lepas.

“InsyaAllah, kami akan mencapai sasaran 26.4 juta ketibaan pelancong tahun in dan 30 juta menjelang 2020,” katanya.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, juga berharap lebih ramai wanita akan menceburi industri pelancongan memandangkan trend tenaga kerja dalam bidang itu berubah pada 2016 apabila lebih separuh daripada pekerja dalam industri tersebut adalah wanita.

Dalam pada itu, Palace of the Golden Horses memenangi Anugerah Emas bagi kategori Hotel Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE).

Hotel Pullman Putrajaya Lakesides merangkul tiga anugerah berprestij iaitu Hotel Lima Bintang Terbaik, Venue Mesyuarat dan Acara Lima Bintang Terbaik serta Personaliti Hotel Terbaik 2018.

- Bernama