18
Ahd, Nov
46 ARTIKEL BARU

Mahkamah pulangkan sementara pasport antarabangsa Shafee

Semasa
Typography

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah supaya pasport antarabangsa dikembalikan bagi mendapatkan permit kerja di Sabah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pasport Shafee dipulangkan sementara berkuatkuasa hari ini sehingga 17 Januari 2019.

Pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membuat bantahan mengenai permohonan yang dibuat melalui peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Ketika ditemui media selepas itu, Aizuddin berkata Shafee memerlukan pasport kerana perlu mewakili kes membabitkan anak guamnya di Mahkamah Tinggi Tawau.

"(Shafee) ada kes jenayah di mahkamah tinggi Tawau. Sebagai seorang peguam dari semenanjung untuk praktis di Sabah, dia perlu dapat kebenaran adhoc. 

"Dia juga perlu mendapat visa pekerjaan dari Jabatan Imigresen Sabah. Jadi dia perlu passport antarabangsa," katanya.

Pada 13 Sept, Shafee memohon dibicarakan atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Shafee didakwa menerima dua bayaran berasingan berjumlah RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak antara 2013 dan 2014.

Dia didakwa menerima sekeping cek daripada Najib yang berjumlah RM4.3 juta pada 13 Sept 2013; dan satu lagi berjumlah RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Shafee menafikan bayaran RM9.5 juta itu adalah untuk mendakwa ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya menyatakan ia adalah yuran guaman bagi beberapa kes di mana beliau mewakili Umno.

Shafee berkata bayaran itu hanya sebahagian daripada lebih RM20 juta yuran yang dibayar kepadanya untuk khidmat undang-undang yang diberikan kepada Umno dan BN. Beliau juga menegaskan tidak tahu mengenai sumber dana Najib.