18
Ahd, Nov
46 ARTIKEL BARU

Jho Low mungkin miliki pasport, Thai, Australia, New Zealand

Semasa
Typography

SHAH ALAM - Ahli perniagaan yang kini menjadi buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, berkemungkinan menggunakan pasport dari Thailand, Australia dan New Zealand untuk mengelakkan dirinya daripada diketahui pihak berkuasa tentang keberadaannya.

Menurut The Star Online, berikutan itu pihak berkuasa Malaysia dikatakan sedang meneliti kemungkinan berkenaan.

“Tindakan itu dibuat selepas kedua-dua pasport yang dimiliki Jho Low dari Malaysia dan St Kitts and Nevis telah dibatalkan,” katanya.

Memetik sumber, akhbar tersebut tidak menolak spekulasi bahawa pelaburan Jho Low dan sejarah panjang urusan keluarganya di negara-negara berkenaan membantunya mendapatkan dokumen perjalanan tersebut.

“Mereka (keluarga Jho Low) mempunyai hubungan kekeluargaan di Thailand dan ada kemungkinan bahawa Jho Low juga memiliki dokumen identiti Thailand berdasarkan perniagaan dan pelaburan datuknya yang besar di negara itu pada tahun 1960-an dan 1970-an.

“Selain itu, bapa Jho Low juga dikatakan pernah menjadi penduduk di Bangkok sejak sekian lama.

“Ia menambah bahawa hubungan Jho Low di Thailand mungkin melayakkannya mendapat keistimewaan tertentu seperti pasport negara itu,” katanya.

Jho Low juga dikatakan mempunyai hartanah di Melbourne dan Sydney bersama dengan aset bernilai NZ$265 juta (RM747 juta) yang dimilikinya di New Zealand.