25
Isn, Sep
685 ARTIKEL BARU

Mendoakan Malaysia Kekal Stabil, Makmur...

Nasional
Typography

KIRA-KIRA 40,000 umat Islam membanjiri Dataran Putra, Presint 1, Putrajaya malam kelmarin, bagi menjayakan program Doa Untuk Malaysia. Turut serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beberapa menteri Kabinet juga hadir. Sudah empat tahun berturut-turut program ini diadakan (sebelum ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur) sempena menyambut Hari Kebangsaan. Dan sudah empat kali jugalah Najib menyertai program penuh makna ini.

Atas semangat Negaraku, Sehati Sejiwa, pemimpin dan rakyat sama-sama bersolat hajat dan menadah tangan, mendoakan terbaik bagi kesejahteraan semua, mengharap Malaysia terus maju tanpa sebarang hala­ngan. Semoga segala program transformasi kerajaan berjalan lancar. Agar terhindar dari segala dakyah, fitnah dan agenda negatif yang mengganggu perjalanan urus tadbir negara.

Program kali ini menampilkan dimensi lebih menarik. Penganut-penganut agama lain juga mengadakan upacara doa secara serentak mengikut adat dan cara masing-masing di seluruh negara. Penganut Buddha mengadakan upacara mereka di Ipoh, Perak. Upacara bagi masyarakat Siam diadakan di Pendang, Kedah, penganut-penganut agama Hindu di Ijok, Selangor, Kristian di Tambunan, Sabah dan Betong, Sarawak, manakala masyarakat Sikh me­ngadakan upacara doa mereka di Malim Nawar, Perak.

Terhimpunlah doa dan harapan agar Malaysia terus kekal stabil, maju, makmur, dan sejahtera. Langkah ini menyerlahkan manifestasi keseragaman cita dan impian bahawa seluruh rakyat, tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang budaya mahu menikmati kedamaian dan kemakmuran berterusan di bumi bertuah ini.

Doa Untuk Malaysia mencari damai dan harmoni. Sekali gus menolak sebarang tindakan pihak-pihak tertentu untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang ada, meretakkan perhubungan antara kaum serta unsur-unsur memecahbelahkan ukhuwah dan perpaduan sesama ummah. Demi kedaulatan tanah air, tentunya tiada siapa merelakan sebarang bentuk perbuatan yang mencemarkan nama baik negara.

Doa Untuk Malaysia juga mencari makna yang lebih tepat kepada pembinaan kemajuan yang seimbang bagi rakyat dan negara. Mengharapkan maju sektor ekonomi dan teknologinya, namun biar seiring dengan keperluan terhadap sistem nilai dan budaya ketamadunan tinggi, berbudi, beradat dan beretika.

Kita juga berdoa agar terhindar dari gejala-gejala buruk seperti dadah, ekstremisme, gengsterisme atau sebarang perlakuan jenayah. Syabas Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana berjaya mencetus syukur dan gema semangat menyayangi Malaysia melalui program Doa Untuk Malaysia ini. Sudah 60 tahun merdeka, Malaysia terus utuh, gagah mendepani segala ujian dan cabaran. Mudah-mudahan Malaysia terus dicurahi rahmat dan keberkatan.

 

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jasa.