24
Ahd, Sep
701 ARTIKEL BARU

Malaysia Tersenarai Sebagai Kuasa Ekonomi Terbesar Dunia Menjelang 2050

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak,  menjelaskan bahawa negara ini akan tersenarai sebagai sebuah kuasa ekonomi ke-24 terbesar dunia pada 2050 dan ia bukan lagi bualan kosong.

“Ini berdasarkan laporan daripada syarikat perkhidmatan profesional antarabangsa, PwC menyebut Malaysia akan tersenarai sebagai kuasa ekonomi ke-24 terbesar di dunia pada 2050. Inilah hasil kajian berdasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan keyakinan pelabur asing ke atas ekonomi negara.

“KDNK Malaysia pada suku pertama melangkaui jangkaan pakar ekonomi iaitu 5.6 peratus dan sekali lagi meningkat pada suku kedua ke paras 5.8 peratus,” katanya dalam  blog, Najibrazak.com, hari ini.

Beliau berkata, paras KDNK ini lebih tinggi daripada suku pertama tahun lepas sebanyak 4 peratus, pencapaian ini secara langsung menguntungkan rakyat kerana hasil ekonomi yang semakin kukuh.

“Ini membolehkan kerajaan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat seperti membina lebih banyak hospital dan klinik selain memberi bantuan kebajikan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

"Hakikatnya peningkatan ekonomi sesebuah negara tidak berlaku dalam sehari atau dalam tempoh yang singkat. Ia mengambil masa yang panjang dan perancangan yang teliti namun, boleh dimusnahkan dalam sekelip mata,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata, janganlah kita membabitkan diri dengan unsur atau pihak yang cuba meruntuhkan apa yang telah dibina selama ini kerana inilah tanah air kita.

 

ARHIZA AHMAD