24
Ahd, Sep
701 ARTIKEL BARU

Malaysia Laksana Misi Kemanusian Rohingya

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk melaksana 'Misi Kemanusian untuk Rohingya' yang terbesar dan diketuai oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam satu kenyataan media menyatakan ia merupakan manifestasi bantahan Malaysia sekerasnya terhadap penindasan berterusan oleh pasukan keselamatan Myanmar terhadap komuniti Rohingya.

Menurutnya, misi yang disokong oleh badan sukarelawan iM4U telah memulakan operasi dan bersedia bertolak Sabtu ini.

"Pasukan ini akan meninjau serta menilai keadaan sebenar kem pelarian sebelum penghantaran bantuan secara komprehensif oleh Malaysia Airlines.

"Ia akan diedar oleh pasukan sukarelawan rakyat negara ini yang tampil daripada pelbagai pertubuhan melalui kerjasama Malindo Air," katanya.

Bagi memastikan bantuan dapat sampaikan secara lebih efektif, perbincangan akan diadakan bagi menempatkan sebuah hospital tentera di daerah tersebut dengan persetujuan pihak berkuasa Bangladesh.

Najib berkata, selaku komuniti Asean yang berpegang teguh kepada nilai kemanusian, Kerajaan Malaysia menggesa Kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan kemelut ini.

Ia termaktub di dalam ASEAN Charter dan ASEAN Human Rights Declaration serta Resolusi yang telah dicapai melalui Extraordinary Session of the OIC Council of Foreign Ministers pada 19 Januari 2017.

Beliau yakin melalui bantuan kemanusiaan ini, hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Bangladesh dijangka meningkat untuk kebaikan bersama.

Perdana Menteri turut menyeru rakyat negara ini untuk bersatu hati menjayakan misi ini dengan bersama memberikan bantuan secara kolektif dan berkesan melalui saluran-saluran rasmi yang akan diumumkan kelak.

"Misi ini diharapkan dapat membawa hasrat seluruh rakyat Malaysia dan menjulang semangat ‘Negaraku Prihatin’ berlandaskan hak keamanan bagi setiap insan," katanya.

 

ARHIZA AHMAD