24
Jum, Nov
955 ARTIKEL BARU

Rekod Demokrasi Dan Kebebasan Bersuara Malaysia Utuh - Najib

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR - Berikut artikel Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertajuk 'Rekod Demokrasi dan Kebebasan Bersuara Yang Utuh di Malaysia' dipaparkan dalam blog beliau, najibrazak.com.

Dalam artiket tersebut, Najib, antara lain, mengkritik mereka yang cuba mencemar nama baik negara di persada dunia semata-mata hanya untuk kepentingan politik dan menegaskan kerajaan mendukung demokrasi, kebebasan bersuara dan kedaulatan undang-undang.

Pada 31 Ogos, Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-60 serentak dengan rekod pungutan pingat negara pada Sukan SEA, kami turut meraikan enam dekad negara kami menjadi sebuah demokrasi dan masyarakat yang bebas.

Hakikatnya, apabila pilihan raya ditandingi dengan begitu hebat dan kebebasan untuk menyatakan pandangan, Malaysia mempunyai rekod demokrasi yang paling lama di seluruh Asia Tenggara.

Ini dapat dilihat dalam pilihan raya kami sebelum ini, apabila parti yang berbeza menang di beberapa negeri dan tokoh politik terkemuka hilang kerusi masing-masing disebabkan tiada sebarang keputusan yang boleh dijamin dalam undian demokratik yang bebas. Terserah kepada rakyat untuk memilih dan ini adalah satu rekod yang perlu dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, bagaimanapun, nampaknya parti pembangkang tidak sependapat dengan tradisi demokrasi kita.

Mereka dan sekutu mereka telah berusaha untuk mencemarkan nama baik negara kita dalam media Amerika, membuat bebrapa siri tuduhan liar, dengan kemuncaknya membuat tuduhan palsu bahawa Malaysia kini berdepan bahaya menjurus ke arah pemerintahan diktator.

Terdapat ironi di sini, membabitkan seorang daripada pemimpin pembangkang masih belum jelas siapakah pemimpin yang sebenar telah mengakui bahawa beliau adalah seorang diktator sepanjang 22 tahun pemerintahannya.

Adalah benar bahawa semasa beliau menjadi perdana menteri, beratus-ratus orang dikenakan tahanan sementara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA), surat khabar termasuk sebuah akhbar harian utama di tutup.

Badan kehakiman diserang. Kapitalisme kroni adalah berleluasa dengan urusan dibuat begitu ketara membebankan rakyat pada hari ini. Rakyat tidak mempunyai hak berdemonstrasi dan pelajar tidak dibenarkan melibatkan diri dalam politik.

Tetapi demokrasi Malaysia terus subur dan di bawah kerajaan saya, ia telah diperkukuhkan dengan perubahan-perubahan yang jauh lebih berhasil sejak kemerdekaan.

Kami memansuhkan ISA dan menamatkan Daurat yang wujud sejak lebih 60 tahun. Ini adalah langkah-langkah utama yang memerlukan keberanian politik yang hebat - tetapi kita meneruskan dengan usaha itu dengan menghapuskan undang-undang lapuk dan menindas dan ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

Kami meningkatkan kebebasan media dengan membatalkan sekatan terhadap lesen penerbitan akhbar. Kami telah memperbaharui Akta Universiti dan Kolej Universiti untuk membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam aktiviti politik.

Semua orang tahu bahawa demonstrasi, yang tidak pernah dibenarkan di bawah bekas kepemimpinan telah berlaku di Kuala Lumpur sejak berapa tahun kebelakangan ini.

Kenapa ? Kerana kita meluluskan Akta Perhimpunan Aman dengan buat pertama kali dalam bentuk undang-undang hak untuk mengadakan bantahan secara aman - yang kita iktiraf sebagai sebahagian daripada masyarakat demokratik.

Kami mempunyai kepercayaan terhadap sistem demokrasi Malaysia dan hak rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka. Pembangkang, bagaimanapun, telah cuba memberi gambaran di media Amerika bahawa pengkritik kerajaan 'dipenjarakan secara rutin'.

Kenapa, adakah anda menagih pujian untuk ahli politik pembangkang dalam akhbar nasional kita dan perbahasan yang kuat termasuk banyak kritikan terhadap kerajaan di laman-laman portal Malaysia ?

Terdapat seorang tokoh akademik terkenal, yang sejak pulang ke Malaysia untuk mengambil jawatan di sebuah badan pemikir yang dibiayai kerajaan - dan dalam kedudukan dibiayai oleh Yayasan Noah yang ditubuhkan oleh datuk saya - telah mengambil setiap peluang untuk menyerang saya dan dasar saya, daripada penyertaan kita dalam perjanjian perdagangan antarabangsa sehingga ke pentadbiran BR1M dan pelaburan asing di Malaysia.

Dia memiliki kebebasan sempurna untuk berbuat demikian, sama seperti dalang sebenar pembangkang, Lim Kit Siang, yang bebas membuat segala tuduhan mengenai diri saya - bagaimanapun, saya dan rakan-rakan saya mungkin berfikir meraka adalah salah. Kenapa ? kerana kami percaya dan mengamalkan kebebasan bersuara di negara ini.

Akhirnya, bertentangan dengan apa yang diperkatakan oleh proksi pembangkang dalam media, kami dengan tegas percaya kepada prinsip mendukung kedaulatan undang-undang.

Ia amat penting kepada keselamatan dan kebajikan mana-mana masyarakat - dan kecemerlangan aturan pasaran kewangan yang kami laksanakan, sebagai contoh, mendapat pelbagai pengiktirafan dalam ranking dunia.

Bagaimanapun, itu juga bermakna bahawa jika sesiapa melanggar undang-undang, mereka perlu berdepan akibatnya. Jadi, apabila seorang Anggota Parlimen melanggar Akta Rahsia Rasmi, sebagai contoh, beliau ditangkap - keadaan serupa yang akan dialaminya di negara lain - bukan kerana menjadi pengkritik kerajaan, tetapi kerana melanggar undang-undang.

Rekod kita konsisten di Malaysia. Malah bekas menteri kabinet dan ketua menteri di pihak kerajaan dan pembangkang telah dihadapkan ke mahkamah, dan apabila mereka hadir di mahkamah, yang membuat keputusan siapa yang patut dipenjarakan, adalah hakim, bukan kerajaan, tanpa mengira betapa tinggi kedudukan atau betapa terkemukanya mereka. Ini disebabkan badan kehakiman Malaysia telah memperoleh semula kebebasannya, berbanding dengan 'hari-hari gelap' semasa krisis kehakiman pada 1988.

Kenyataannya adalah kerajaan mendukung demokrasi. Kami mendukung kebebasan bersuara. Kami mendukung kedaulatan undang-undang. Rekod kami adalah jelas, seperti penambahbaikan dalam kebebasan rakyat di bawah pentadbiran ini.

Keupayaan pembangkang untuk berhujah menentang kami secara terbuka dan bersungguh-sungguh adalah bukti kepada peningkatan kebebasan yang rakyat Malaysia miliki.

Pembangkang dialu-alukan untuk berbuat demikian, dan mereka sememangnya berbuat demikian, seperti yang diketahui oleh rakyat Malaysia berdasarkan laporan yang kerap disiarkan menerusi media tradisional dan media baharu.

Bagaimanapun, membuat tuduhan palsu untuk mencemarkan demokrasi Malaysia yang utuh dan menyebarkan fitnah serta pembohongan terhadap kerajaan ini dalam akhbar asing semata-mata untuk kepentingan politik adalah satu perkara lain.

Ia tidak menyerlahkan kebanggaan dalam apa yang telah kita capai. Ia juga tidak menzahirkan rasa cinta kepada negara kita.

Dan ia sepatutnya menjadi faktor yang menyatupadukan kita sambil kita menyambut ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara dan mengimbas kembali peristiwa penting yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang pelbagai, harmoni dan penuh berkeyakinan pada hari ini.

 

- BERNAMA

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.