24
Ahd, Jun
64 ARTIKEL BARU

Indeks Kepuasan Pelanggan Pengangkutan Awam Meningkat 90 Peratus

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR - Indeks Kepuasan Pelanggan bagi pengangkutan awam bandar di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang meningkat kepada 90 peratus pada 2017 berbanding 84 peratus pada 2016.

Menurut Tinjauan Laporan Tahunan 2017 Program Transformasi Negara (NTP), purata harian penumpang rel dan bas pada tahun lepas adalah sebanyak 1.21 juta orang.

Laporan itu turut memuatkan pemerhatian berikut :

  • Jumlah penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) kini adalah 38 peratus daripada 457,658 penumpang pengangkutan awam.
  • Projek LRT3 akan menghubungkan dua juta orang di sepanjang koridor barat Lembah Klang dari Johan Setia ke Bandar Utama.
  • Purata penumpang Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh - Kajang adalah 110,000, dan mengurangkan 160,000 kenderaan di Lembah Klang.
  • Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) dijangka memperbaik perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) termasuk pemulihan trek sepanjang 40 kilometer dan penambahbaikan 16 stesen KTM.
  • Penyusunan semula rangkaian bas henti menyumbang kepada peningkatan 20.4 peratus dalam liputan perkhidmatan iaitu daripada 7,643 kilometer kepada 9,202 kilometer.
  • Sebanyak 11 operator bas henti-henti menawarkan perkhidmatan di 348 laluan sehari dengan bilangan penumpang meningkat kepada sembilan peratus.
  • Sebanyak 4,547 panel maklumat bas yang memberi maklumat laluan dan jadual bas turut dipasang serta lapan hab terminal dalam bandar yang dibina bagi menyepadukan pelbagai jenis pengangkutan awam.
  • Program Transformasi Industri Teksi (TITP) meluluskan 2,460 lesen baharu untuk teksi perseorangan.
  • Seramai 581 pemandu teksi menerima geran tunai RM5,000 bagi pembelian teksi baharu
  • Penetapan peraturan dan dasar berkongsi perjalanan membolehkan perkhidmatan teksi dan e-panggilan diwujudkan secara bersama.
  • Sistem Pembayaran Umum Bersepadu (ICPS) iaitu sistem tiket standard telah siap 61 peratus bagi semua operasi rel di GKL/Lembah Klang.
  • Lebih 20,000 tempat letak kereta disediakan di GKL/Lembah Klang.

 

- BERNAMA