24
Ahd, Jun
64 ARTIKEL BARU

Usaha Pupuk Integrasi dan Perpaduan Harus Bermula di Peringkat Awal Persekolahan - Zahid

Nasional
Typography

BAGAN DATUK - Usaha memupuk integrasi dan perpaduan di kalangan etnik harus diterapkan di kalangan murid seawal prasekolah dan sekolah rendah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana had umur pada masa itu sesuai dan berkesan untuk memahami konsep itu.

"Integrasi dan perpaduan di kalangan murid-murid penting dan harus dididik bermula dari sekolah rendah. Didikan integrasi ini cukup berkesan jika ia dibuat dalam tempoh enam tahun (bermula) dari Tahun Satu hingga Tahun Enam.

"Dan ini merupakan usaha yang bukan hanya berdasarkan kepada kurikulum atau silibus tetapi harus diusahakan oleh pengurusan sekolah, bukan hanya pada guru besar semata-mata, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan dan Olahraga SJKC Yeong Seng, Batu 10, Hutan Melintang pagi ini.

Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk turut mengingatkan golongan ibu bapa supaya tidak meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak mereka di bahu guru semata-mata bagi memastikan usaha melahirkan insan yang menghormati dan memahami perasaan antara kaum lain dapat dijayakan.

"Kita lihat bahawa perpaduan agak terjejas dan asimilasi sosialnya, dan apatah lagi berlaku jurang budaya.

"(Jadi) saya sarankan harus ada komunikasi silang budaya agar sebagai kaum di Malaysia dapat memahami budaya masing-masing.

Malah, kata beliau, memupuk perpaduan di kalangan murid tidak boleh dibuat hanya berdasarkan sukatan pelajaran tetapi ia mesti dilakukan melalui sosial asimilasi melalui komunikasi silang budaya.

"Dua elemen ini penting dan SJKC Yeong Seng merupakan contoh terbaik," katanya.

Ahmad Zahid berkata SJKC Yeong Seng bukan hanya mempunyai murid kaum Cina malah turut mempunyai murid dari kalangan kaum Melayu dan India.

"Usaha ini harus digalakkan dan kerajaan mengharapkan agar terdapat integrasi pelbagai kaum di SJKC kerana terdapat minat di kalangan ibu bapa kaum Melayu dan India untuk menghantar anak-anak ke SJKC bagi mempelajar bahasa Mandarin.

Bahasa Mandarin adalah antara bahasa terbesar (dituturkan) di dunia dan ini tentunya harus digalakkan kerana bahasa itu menjadi bahasa perdagangan lingua franca yang digunakan oleh masyarakat antarabangsa, " katanya.