24
Ahd, Jun
64 ARTIKEL BARU

PM Najib Umum Lima Hadiah Istimewa Untuk Warga Pekerja

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membawa khabar gembira untuk warga pekerja khususnya di sektor swasta dengan pengumuman lima 'hadiah' bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan mereka dalam ekonomi dan pembangunan negara.

Beliau berkata antaranya ialah kerajaan akan menyediakan peruntukan geran khas sebanyak RM3 juta kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai menghargai wala' dan kesetiaan warga pekerja kepada kerajaan dan negara selama ini.

"Pemberian geran khas ini akan dibuat pada tahun ini dan terpulang kepada MTUC bagaimana untuk mengagihkan kepada kesatuan-kesatuan sekerja yang lain," kata beliau semasa berucap di hadapan ribuan warga pekerja yang menghadiri sambutan Hari Pekerja 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Beliau menekankan bahawa seluruh warga pekerja di sektor awam dan swasta serta majikan dan 742 kesatuan sekerja di seluruh negara adalah 'darah daging' kepada tanah air ini.

Mengumumkan hadiah kedua, Najib berkata jika ditakdirkan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerajaan akan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,000 dan RM920 sekarang kepada kadar baharu yang akan diumumkan pada tahun ini juga.

Najib berkata beliau dimaklumkan bahawa MTUC telah memperjuangkan dasar gaji minimum sejak 1998 namun, tidak diendahkan oleh pemimpin utama kerajaan ketika itu, yang membiarkan nasib pekerja sehingga ada yang bergaji serendah RM400 sebulan.

Dalam masa hanya setahun selepas mengambil alih kepimpinan negara, Najib berkata beliau sendiri telah mengumumkan pelaksanaan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan diikuti dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang seterusnya menyaksikan gaji minimum ditetapkan RM900 bagi Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak pada 2012.

"Pada tahun lepas, kadar gaji minimum ditingkatkan lagi masing-masing sebanyak 11 peratus dan 15 peratus menjadi RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Sabah dan Sarawak," kata beliau.

Demi memupuk keluarga bahagia untuk warga pekerja, Najib berkata kerajaan BN akan memperkenalkan inisiatif khas cuti paterniti mandatori sekurang-kurangnya tiga hari khusus untuk suami yang bekerja di sektor swasta.

Pindaan peruntukan undang-undang bagi melaksanakan inisiatif itu dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun hadapan, kata perdana menteri.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang direalisasikan pada Januari lepas bagi membantu pekerja yang diberhentikan.

Walaupun bayaran penuh SIP hanya boleh dilaksanakan mulai Januari tahun depan, beliau berkata nasib pekerja yang hilang mata pencarian tahun ini tidak dilupakan dengan kerajaan memperuntukkan RM122 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) untuk membuat bayaran SIP kepada pekerja yang terlibat.

Beliau juga memberitahu warga pekerja bahawa jika BN diberi mandat meneruskan pemerintahan pada 9 Mei ini, kerajaan akan menambah RM60 juta lagi kepada Perkeso menjadikan jumlah peruntukan bagi tujuan itu ialah RM182 juta.

Dengan tambahan RM60 juta ini, kadar bantuan interim akan ditingkatkan iaitu daripada RM600 bagi tempoh satu hingga tiga bulan kepada RM1,000 pada bulan pertama dan RM800 pada bulan kedua dan RM600 bagi bulan ketiga, kata beliau.

Dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir negara untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0, perdana menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta melalui Pembangunan Sumber Manusia Bhd bagi melaksanakan Inisiatif Strategik Modal Insan.

Najib berkata kerajaan BN juga bertekad akan terus melindungi golongan pekerja sendiri dari pelbagai segmen masyarakat termasuk pemandu e-hailing, nelayan, petani, peniaga pasar dan penggiat seni.

Warga pekerja bukan sekadar penabur khidmat dan bakti kepada tanah air tercinta ini, bahkan lebih jauh dari itu, seluruh warga kerja walau di mana berada, BN mengangkat dan mengiktiraf warga pekerja sebagai tulang belakang, daging dan darah yang mengalir deras dalam pembuluh nadi serta nafas kerajaan di tanah air keramat lagi merdeka ini.

Kalau kerajaan BN itu umpama bunga, maka warga pekerjalah ibarat tangkainya. Maka, dari itu, janganlah sesekali warga pekerja sekalian terpesona dan tergoda serta menghirup di 'bunga' yang lain, teruslah yakin, menikmati madu dari kelopak BN yang tulen menjadi penawarnya, kata beliau sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Bertemakan 'Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara', majlis sambutan hari ini turut memberi pengiktirafan kepada beberapa tokoh pekerja dan majikan yang disampaikan perdana menteri.

Antaranya ialah Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) yang diberikan kepada Allahyarham Datuk Izham Yusoff dari Bina Darulaman Bhd, Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Bukan Eksekutif) yang disampaikan kepada Bahrin Buang dari Institut Kemahiran Mara Lumut dan Anugerah Tokoh Pekerja Orang Kurang Upaya kepada Profesor Madya Dr Naziaty Mohd Yaacob dari Universiti Malaya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Presiden MTUC Datuk Abdul Halim Mansor.