22
Ahd, Jul
50 ARTIKEL BARU

Siasat Projek ADAX - Gobind

Nasional
Typography

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, mengarahkan siasatan penuh terhadap projek bursa data fizikal pertama di dunia, ASEAN Data Analytics Exchange (ADAX) yang dilaksanakan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berikutan kebimbangan terhadapnya.

Katanya, beliau menerima banyak pertanyaan berhubung projek terbabit dan antara persoalan yang ditimbulkan adalah sama ada wujud percanggahan kepentingan antara pengurus program berkenaan dengan penyedia latihan atau sebaliknya.

"MDEC yang sedang menjalankan siasatan turut meminta bantuan Jabatan Audit Negara untuk melakukan audit berhubung projek terbabit.

"Laporan lengkap berhubung projek berkenaan dijangka akan dikemukakan dalam tempoh terdekat. Buat masa ini, tiada dakwaan dibuat terhadap sesiapa yang dipercayai melakukan kesalahan atau salah laku dalam projek ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gobind turut menegaskan beliau akan memberikan komitmen penuh bagi memastikan pengurusan pentadbiran di bawah kementeriannya kekal telus dan berintegriti.

"Sekiranya siasatan membuktikan wujudnya salah laku, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang terbabit," katanya.

ADAX, bursa data fizikal pertama di dunia yang terletak di Malaysia menyasar untuk melahirkan 20,000 profesional data menjelang tahun 2020, sekali gus mencapai aspirasi ekonomi digital negara.

Profesional data berpeluang menjana pendapatan penengah atau median hingga RM50,000 sebulan jika mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun. Di Amerika Syarikat (AS), gaji median profesional data boleh mencecah AS$128,000 sebulan.

ADAX yang berpusat di Bangsar South di sini, adalah inisiatif yang diterajui MDEC dan peruntukan daripada Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB).

Siti Nur Mas Erah Amran-Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.