18
Ahd, Nov
46 ARTIKEL BARU

Asas pemilihan negara mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun - Dr Mahathir

Nasional
Typography

BANGKOK, 25 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad percaya kerajaan baru boleh menetapkan asas pemulihan ekonomi negara dalam tempoh dua tahun dan seterusnya membuka laluan untuk mengembalikan kegemilangannya sebagaimana sebelum ini, semasa ia mendapat gelaran “Harimau Asia”.

Beliau berkata proses pemulihan sedang berjalan dengan baik dalam negara ketika ini, dan ekonomi negara pastinya akan pulih nanti.

“Pemulihan penuh mungkin mengambil masa bertahu-tahun lamanya, tapi saya harap dalam tempoh setahun atau dua tahun kita boleh tetapkan asas pemulihan buat Malaysia,” katanya semasa berucap di sesi dialog bersama komuniti Malaysia di sini, sebelum sesi soal jawab bersama para hadirin.

Perdana Menteri berkata Malaysia ketika ini bagaikan ‘harimau separuh nyawa”, namun beliau tetap optimis satu hari nanti ia akan kembali mencapai kegemilangan sebagaimana sebelum ini.

Katanya beliau percaya kepada barisan menteri yang baru dilantik, walaupun ada kalangan mereka tidak pernah menjadi anggota pentadbiran kerajaan, dan sesetengahnya mengaku bagaikan berada dalam keadaan “gayat”.

"Saya harap nanti tiba masanya kerajaan kita akan dapat menangani semua masalah yang dihadapi negara. Dari segi jentera pentadbiran saya rasa kita sudah sampai ke tahap yang baik, walaupun mereka masih baharu, mereka cepat belajar. Saya menaruh kepercayaan kepada keupayaan mereka untuk berkhidmat dengan baik sebagai menteri dalam kerajaan baru,” katanya.

Dr Mahathir yang menerajui kerajaan selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri keempat, sebelum dilantik kembali sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 bersama Pakatan Harapan berkata, masalah pertama yang perlu ditangani oleh kerajaan baharu adalah untuk menyelesaikan soal hutang negara yang berjumlah lebih RM1 trilion yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

"Kita belum pernah dengar perkataan trilion sebelum ini, tapi sekarang dah jadi perkataan biasa, ia adalah jumlah wang yang kerajaan hutang, yang perlu kita bayar, sukar untuk cari wang untuk bayar hutang ini,” kata beliau yang berada di Thailand untuk lawatan rasmi dua hari.

"Kita pernah ada satu dana, dinamakan “Tabung Harapan” di mana orang ramai boleh menderma, tapi kita tak mahu dilihat seolah-olah menerima ‘hadiah’ daripada orang ramai, sebab kerajaan ini amat serius dalam membanteras rasuah dalam kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA