24
Jum, Nov
955 ARTIKEL BARU

‘Datuk Ramly Adalah Abang Saya di Kuala Kangsar’, kata Mastura

Politik
Typography

KUALA KANGSAR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kuala Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid hari ini sekali lagi menyatakan bahawa hubungannya dengan Bekas Adun Manong, Datuk Ramly Zahari boleh diibaratkan seperti adik beradik.

Tambah balu kepada Allahyarham Datuk Wan Khair-il Wan Ahmad itu, hubungannya dengan isteri kepada Ramly, yang dipanggil Datin Om juga baik, malah mereka turut bersama-sama menganggotai Badan Amal dan Usaha Isteri Wakil Rakyat Perak (BAIDURI).

“Datuk Ramly adalah abang saya di Kuala Kangsar ini dan saya tidak ada sebarang masalah dengan beliau.

“Datin Om, isteri beliau juga adalah rakan saya di dalam BAIDURI dan kami bergiat aktif bersama dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan di peringkat negeri,” ujarnya dalam satu sidang media yang diadakan di kediamannya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menaruh harapan yang besar buat pengundi atas pagar supaya dapat memilih untuk mengundi BN pada saat-saat akhir bagi membuka peluang kepadanya membela nasib penduduk di Kuala Kangsar.

“Saya mempunyai harapan yang besar terhadap pengundi atas pagar untuk membuat keputusan yang jelas dan nyata untuk menyokong BN untuk berkhidmat kepada orang Kuale. Berilah saya peluang untuk menzahirkan usaha itu.

“Saya ada juga berjumpa pengundi-pengundi atas pagar ini. Walaupun mereka tidak memberitahu secara zahirnya, namun saya kenal mereka,” katanya.

Mastura antara lain ketika diminta mengulas mengenai isu banner yang dipercayai dinaikkan oleh pihak pembangkang yang kurang berpuas hati dengannya berkata, perkara itu merupakan perkara biasa yang terjadi setiap kali Pilihan Raya berlangsung.

“Itu lumrah dalam pilihan raya, saya menjangkakannya. Tapi, dalam masa yang sama saya berharap supaya kita bertanding secara sihat.

“Saya percaya bahawa ahli-ahli parti sangat jitu dan bersatu padu kearah meraih kemenangan pada hari esok. Jadi, kepada pihak yang bertanggungjawab berbuat perkara demikian, mereka tahu siapa mereka dan saya mengesyorkan supaya kita di Kuala Kangsar yang harmoni dan sederhana ini untuk bertanding dalam suasana sihat,” jelasnya. 

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.