23
Ahd, Jul
650 ARTIKEL BARU

Perpecahan DAP Melaka, BN Perlu Ambil Peluang - Idris

Politik
Typography

AYER KEROH - Pimpinan Barisan Nasional (BN) Melaka digesa supaya mengambil kesempatan di atas pergolakan dalaman DAP di negeri itu.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Idris Haron, peluang itu perlu digunakan pemimpin-pemimpin BN untuk menawan hati rakyat agar terus menyokong BN khususnya menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang.

Tindakan keluar parti lebih 182 ahli akar umbi DAP Melaka baru-baru ini ujar beliau adalah satu peluang keemasan kepada BN negeri.

“Sebenarnya kita tak boleh alpa. Saya dah pesan Exco, yang berlaku dalam DAP ini adalah sesuatu yang kita (BN) perlu ambil peluang.

“Kalau tak ambil peluang daripada apa yang berlaku, ia tak ada manfaat pada kita (BN). Maka, apabila telah berlaku perpecahan, kita perlu eksploitasi (situasi) secara porsitif untuk jadikan ia kekutan pada parti kita (BN),” kata Idris.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan pemimpin-pemimpin BN supaya tidak terlalu ghairah dan berasa selesa dengan isu itu sehingga terlupa akan tanggungjawab untuk terus memperkukuh parti.

Dalam perkembangan lain, Idris yang juga Ketua Menteri Melaka optimis untuk merebut semula kerusi di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen daripada tangan pembangkang.

Justeru itu katanya, perkara tersebut hanya akan dapat direalisasikan dengan kerjasama padu daripada semua pemimpin BN negeri khususnya di peringkat akar umbi.

12 Februari lalu empat pemimpin DAP Melaka yang terdiri daripada ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him dan tiga wakil rakyat Lim Jak Wong (Bachang), Chin Choon Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong) telah bersama-sama mengumumkan peletakan jawatan mereka sebagai ahli DAP.

DAP Melaka sekali lagi berdepan cabaran apabila 182 anggota akar umbinya yang diketuai tujuh bekas anggota jawatankuasa DAP negeri mengumumkan keluar parti, pada 12 Mac lalu.