24
Isn, Jul
661 ARTIKEL BARU

Debat Nazri – Tun M: Polis Tolak Permohonan Permit Penganjur

Politik
Typography

IPOH – Polis Perak hari ini telah menolak permohonan Kumpulan Media Karangkraf untuk menganjurkan debat antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Sabtu ini.

Menurut Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, permohonan itu ditolak atas empat alasan iaitu lewat mengemukakan borang pemberitahuan seperti mana yang dinyatakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Menurut beliau, mengikut seksyen berkenaan, pihak penganjur hendaklah membuat pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah 10 hari sebelum perhimpunan.

"Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq hanya menerima permohonan penganjur pada jam 3 petang 20 Mac 2017 (semalam)," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, tempat perhimpunan yang dipilih iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar adalah kawasan sekolah dan ia satu tempat larangan di dalam Jadual Pertama (Seksyen 3) akta sama.

Katanya, pihak polis juga menerima bantahan secara bertulis iaitu lapan laporan polis yang dibuat oleh orang awam dan penduduk sekitar kawasan perhimpunan akan diadakan yang bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga. 

Ia kata Hasnan adalah bantahan daripada orang-orang yang berkepentingan dalam mengikut akta berkenaan.

"Jadual akta sama juga jelas menyatakan perhimpunan/dialog seperti ini tidak termasuk dalam perhimpunan yang dibenarkan," katanya.

Hasnan berkata, polis sudah memaklumkan perkara itu kepada penganjur semalam dan akan menjelaskannya secara bertulis hari ini.