24
Isn, Jul
661 ARTIKEL BARU

PPBM Terus Ketepikan Anina, Lantik Ketua Srikandi Baharu

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengumumkan secara rasmi pelantikan Rina Mohd Harun bagi memimpin sayap Srikandi Malaysia (Srikandi) yang akan mengemudikan ahli wanita parti itu di seluruh negara, sekaligus mengetepikan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Anina Saadudin.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan barisan itu berkata pelantikan Rina, seorang ahli perniagaan adalah berdasarkan kebijaksanaannya memberi idea bagaimana untuk parti ini meneruskan perjuangan merampas negara dari Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, pelantikan itu membuktikan PPBM tidak mengamalkan nepotisme dan kronisme kerana sebahagian besar ahli jawatankuasa yang dipilih dan dilantik adalah berdasarkan pengalaman mereka dalam politik, selain mempunyai kepakaran dalam pengurusan organisasi.

“Saya berpuas hati dengan barisan kepimpinan Srikandi Malaysia ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional muda, ahli perniagaan dan mempunyai pengalaman dalam bidang politik.

“Saya yakin dengan kepimpinan ini akan menguatkan lagi PPBM terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) nanti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM di Menara Yayasan Selangor di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Penerangan, Datuk Kamaruddin Md. Noor.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengumumkan pelantikan 20 Ahli Jawatankuasa dan tujuh Ketua Penaja Negeri Sayap Srikandi yang turut mengangkat sumpah di hadapannya hari ini.

Tujuh Ketua Penaja Srikandi Negeri ialah Baridah Che Nayan (Perlis), Halimaton Shaadiah Saad (Kedah), Marshidaliza Marzuki (Pulau Pinang), Noridah Abdullah (Selangor), Azalina Abdul Rahman (Melaka), Norliza Ngadiran (Johor) dan Zuliana Mohamed (Pahang).

Sebelum ini, isu mengenai ketua sayap Srikandi PPBM kecoh seketika apabila ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Anina Saadudin, mendakwa beliau disingkirkan daripada jawatan itu.

 

Ketua Penerangan PPBM Datuk Kamarudin Md Nor bagaimanapun berkata Anina tidak “dipecat” daripada jawatan itu kerana parti itu tidak pernah melantik Anina mengetuai sayap wanita secara rasmi.