18
Jum, Ogs
861 ARTIKEL BARU

Ahli Akademik Buat Laporan Polis Terhadap Hannah Yeoh

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis terhadap Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh telah dibuat oleh seorang ahli akademik kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Kamarul Zaman dalam satu kenyataan memberi tahu laporan polis tersebut dibuat berkaitan buku yang ditulis ADUN DAP Subang Jaya tersebut yang dikatakan berusaha 'memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang bukan beragama Kristian'.

Beliau yang merupakan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), UUM, mendedahkan buku tulisan Hannah yang bertajuk ‘Becoming Hannah’ (Menjadi Hannah) menjadi bukti nyata pengakuan pemimpin DAP itu terlibat dalam politik dengan bantuan pihak Kristian.

Menerangkan buku itu dibeli kerana merasakan kandungannya akan lebih menjerumus dan menyentuh pembabitan penulisnya dalam bidang politik yang merupakan bidang kajian beliau, namun hampa apabila kandungan buku tersebut lebih kepada kisah dan petikan dari Bible, Kitab yang menjadi pegangan penganut agama Kristian.

"Saya membeli buku ini kerana ia berada di rak terbuka sebuah gedung buku dan kerana saya tahu penulisnya ialah seorang ahli politik yang menjawat jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya dan jawatan Speaker DUN Selangor. Pada hemat saya, disebabkan penulisnya seorang ahli politik, tentulah kandungan buku ini akan banyak menyentuh pembabitan penulisnya dalam bidang politik, iaitu bidang kajian saya.

"Bagaimanapun, saya terkejut bila mendapati buku ini mengandungi terlalu banyak kisah dan petikan dari Bible, Kitab yang menjadi pegangan penganut agama Kristian. Saya berpendapat bahawa buku ini merupakan satu cubaan untuk memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang bukan beragama Kristian, termasuk yang beragama Islam, supaya menjadi penganut atau anggota agama Kristian atau supaya cenderong kepada agama Kristian," katanya.

 Tambahnya lagi, dalam buku tersebut, Hannah turut menceritakan 'Tuhan Hannah Yeoh' sering memberi keajaban dengan memberi bantuan di dalam bentuk yang tidak disangka-sangka di kala memerlukan termasuklah ketika kempen pilihan raya.

"Apa yang ditonjolkan di dalam buku ini adalah penganut agama Kristian adalah insan yang beruntung dan Tuhan agama Kristian adalah Tuhan yang kasih, baik dan adil. Diceritakan betapa Hannah Yeoh sering menerima “prophecy” (pengetahuan mengenai masa depan) tepat dari Tuhan beliau, termasuk bahawa suatu hari nanti beliau akan bekerja bersama negarawan dan pemerintah (“I would someday work among statesmen and rulers”, muka surat 109).

"Diceritakan juga betapa Tuhan Hannah Yeoh sering mendatangkan keajaiban dengan memberi bantuan di dalam bentuk yang tidak disangka-sangka tatkala beliau sangat memerlukan. Ini antara lainnya terjadi di dalam kempen pilihan raya (muka surat 50-51), di dalam memenuhi hasrat hati beliau (“the desires of my heart”) dan di dalam memenuhi hasrat material beliau (“the material desires I had”), termasuklah dari segi kewangan (muka surat 108-109)," katanya.

Ujar Kamarul Zaman lagi, pembaca yang membaca buku tulisan Hannah itu akan mendorong untuk merasakan betapa hebatnya Tuhan Hannah Yeoh dan turut menyelitkan ajaran Kristian yang bertentangan dengan ajaran Islam.

"Kesemua cerita ini boleh mendorong pembacanya, termasuk saya, merasa kagum dengan kehebatan Tuhan Hannah Yeoh. Sedangkan pada masa lain beliau selitkan pula catatan mengenai ajaran Kristian yang bertentangan dengan ajaran Islam, termasuklah bahawa manusia adalah anak Tuhan (“His beloved Child” dan “Child of God”, muka surat 22 dan 89) dan Isa/Jesus adalah anak Tuhan dan Tuhan (“the Son of God” dan “God”, muka surat 102).

"Hannah memang bermaksud supaya buku beliau turut dibaca oleh orang bukan Kristian. Ini tergambar di dalam tulisan beliau berbunyi “Jika kamu bukan seorang Kristian dan sedang membaca buku ini” (“If you are not a Christian and are reading this book”, muka surat 14). Ini selari dengan pendedahan mengenai misi beliau sebagai duta Tuhan dan untuk mencari pengikut (“as “ambassador of God” and to make disciples of others”, muka surat 7).

"Hakikat bahawa Hannah memang memaksudkan buku beliau turut dibaca oleh orang bukan Kristian juga terbukti kerana buku ini boleh dibeli oleh sesiapa sahaja, termasuklah yang beragama Islam. Ini diakui sendiri oleh Hannah Yeoh di dalam kenyataan media beliau pada 15 Mei 2017 bahawa buku ini “boleh dibeli secara atas talian di www.gerakbudaya.com atau mana-mana gedung buku utama seperti Kinokuniya, MPH, Popular dan Times”," katanya.

Susulan isi kandungan buku tersebut yang lebih kepada menghasut dan boleh mendatangkan keresahan di kalangan umat Islam di negara ini, maka laporan polis telah dibuat agar tindakan sewajarnya boleh dikenakan terhadap beliau.

"Hannah mungkin telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 (Enakmen No 1/1988) yang menyebut “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderong kepada agama itu”.

"Selain itu, Hannah  juga mungkin telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan kerana (a) menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau (b) memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, di atas alasan agama.

"Ini kerana terdapat bukti bahawa tulisan dalam buku Hannah Yeoh ini mendatangkan keresahan di kalangan umat Islam di negara ini. Apatah lagi bila Hannah  sendiri mendedahkan betapa beliau menggunakan jawatan politik beliau (“my political office”) untuk berdiayah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda (“to preach at churches, to world leaders and to young people”, muka surat 108).

"Begitu juga seruan Hannah agar penganut Kristian membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia (“God wants to reclaim politics and public service in Malaysia”, muka surat 110), ditambah tindakan beliau mengaitkan diri dengan cita-cita untuk membawa kepercayaan dan perkhidmatan Kristian kepada dunia awam (“aims to bring Christian faith and service to the public sphere”)," katanya.

Di dalam satu wawancara yang dimuatnaik oleh laman web Islamic Renaissance Front pada 7 September 2012, seorang pengkaji Evangelical Christianity di Malaysia, Dr Chris Chong, bersetuju bahawa DAP mempunyai pengikut besar di kalangan Kristian evangelical, dan Hannah disebutkan sebagai satu contoh baik mengenainya, di mana kawasan pilihanraya beliau didakwa mempunyai bilangan gereja per kapita paling banyak di Malaysia.

"Saya sendiri pernah mendengar luahan kawan-kawan beragama Islam yang sangat tidak berpuas hati dengan tindakan Hannah ini kerana ia dikatakan bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan selain bertentangan dengan Perkara XLVIII(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan yang menyebut bahawa agama Islam adalah agama Negeri," katanya.

Sebelum ini, Kamarul Zaman menyatakan tidak gentar dengan laporan polis yang dibuat Hannah terhadap dirinya berhubung penulisan artikel yang bertajuk  “Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP” dan bersedia bertanggungjawab terhadap penulisan tersebut.

“Saya mengesahkan tulisan itu adalah tulisan saya dan saya mengambil tanggungjawab penuh ke atas tulisan saya itu.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberikan penjelasan kepada mana-mana pihak, termasuk kepada polis, atau di mana saja, termasuk di mahkamah, sekiranya diperlukan.

“Saya akan mengemukakan bukti berkaitan dan bukti-bukti lanjut yang belum didedahkan mengenai agenda Kristianisasi beliau di dalam bidang politik,”katanya.