23
Sel, Mei
720 ARTIKEL BARU

PKR ‘Hidung Tak Mancung, Pipi Tersorong-sorong’ - Puad

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) ibarat ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’, ujar ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Kenyataannya itu susulan pengumuman yang dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengarahkan supaya ahli parti itu yang  mendapat perlantikan politik dalam pentadbiran negeri Kelantan supaya meletak jawatan.

“Malam tadi mesyuarat Biro Politik PKR tidak berani buat keputusan agar (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri) Azmin (Ali) memecat tiga exco PAS itu. Mereka hanya mengarahkan supaya ahli PKR yang  mendapat perlantikan politik dalam pentadbiran negeri Kelantan meletak jawatan.

“Mungkin PKR mahu menyindir PAS, iaitu kalau PKR sanggup melepaskan jawatan lantikan politik di Kelantan kenapa pula tiga exco PAS tidak sanggup letak jawatan.

“Dalam kenyataan Wan Azizah itu, disebut PKR mahu 'melunakkan' hubungan dengan PAS. Apakah itu punca tindakan memecat tidak diambil? Dan apakah itu bermakna PKR umpama hidung tak mancung pipi tersorong sorong?” katanya menerusi catatan di Facebook beliau.

Di dalam catatannya itu, beliau turut menempelak Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup bersekongkol dengan DAP untuk memecah-belahkan Melayu.

“Lain pula dengan Tun Mahathir. Beliau tuduh PAS mahu memecahkan belahkan Melayu secara solo. Soalnya, kenapa Tun M sanggup pula bergabung dengan DAP untuk memecahkan belahkan Melayu.

“Sedangkan dia pernah menuduh DAP adalah anti Melayu dan anti Islam. Apakah Selangor akan berhadapan sekali lagi krisis politik panjang seperti mana Wan Azizah gagal menjadi Menteri Besar selepas Langkah Kajang?” soal beliau.