24
Sab, Jun
723 ARTIKEL BARU

PRK DUN Pujut Pada 4 Julai Ini

Politik
Typography

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut pada 4 Julai ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, berkata tarikh penamaan calon pula pada 20 Jun ini.

Beliau berkata, Dewan Suarah di Miri dipilih sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

"Sebanyak lima sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi kesemua 44 saluran tempat mengundi.

"Seramai 483 orang petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses PRK ini yang dianggarkan memerlukan kos sebanyak RM838,536," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada Jumaat lalu, wakil rakyat DAP, Dr Ting Tiong Choon, dipecat selepas usul untuk melucutkan keanggotaannya dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang, Datuk Seri Wong Soon Koh pada sidang DUN.

Usul itu dibentangkan kerana kesetiaan Dr Ting kepada negeri dan negara dipertikaikan berikutan beliau memiliki kewarganegaraan Australia dan mendaftar sebagai pengundi di negara itu.

 

Pemecatan itu dibuat kerana didapati dengan jelas Dr Ting melanggar peruntukan yang dinyatakan dalam Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Negeri Sarawak. - BHOnline