18
Jum, Ogs
861 ARTIKEL BARU

UMNO, BN Konsisten Bantu, Dekati Rakyat - Najib

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) mendekati rakyat secara berterusan berbeza dengan pembangkang yang hanya turun padang menemui rakyat secara bermusim, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata UMNO yang merupakan tunjang kepada kerajaan BN telah membantu rakyat dalam pelbagai perkara antaranya memberi subsidi dalam mengurangkan kos ditanggung rakyat.

"Antara subsidi ialah kesihatan dengan pesakit membayar pada harga minima RM1 sahaja, skim perumahan yang memudahkan pembelian dalam kalangan rakyat bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan atau dipanggil RUMAWIP serta pelbagai kemudahan untuk rakyat," katanya.

Najib yang juga Presiden UMNO, berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan program UMNO Bantu Rakyat anjuran Biro Kebajikan UMNO di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kosas, Ampang dekat sini, malam ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar serta Pengerusi Biro Kebajikan UMNO yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Najib berkata UMNO akan memulakan jelajah ke seluruh negara mendekati rakyat dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan seperti golongan miskin, orang tua dan orang kelainan upaya.

"Saya mahu anggota UMNO menyusun strategi dengan turun menemui rakyat dan menghulurkan bantuan kebajikan dan menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan. UMNO sentiasa prihatin ke atas keperluan rakyat berbanding pembangkang yang hanya tahu bercakap dan menaburkan fitnah tanpa ada hala tuju yang jelas," katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata Biro Kebajikan UMNO (BIKUM) akan memulakan siri penjelajahannya ke seluruh negara bermula esok, dengan ke Perak dalam misinya untuk mendekati rakyat.

"Ia membabitkan 35 kenderaan pacuan empat roda yang akan menjelajah ke semua negeri dan konvoi ini nanti akan membawa bersama bantuan dan sumbangan khusus untuk golongan memerlukan.

"Antara bantuan yang akan disampaikan termasuk barangan keperluan harian seperti makanan, selain 300 hamper khas di setiap UMNO bahagian yang dilawati," katanya.

Konvoi ini yang memberi makna cukup besar kepada UMNO seiring usia parti yang sudah menjangkau 71 tahun, dan ia adalah program untuk UMNO mendekati rakyat.

 

Seramai 150 sukarelawan dan peserta konvoi akan terlibat dalam program jelajah berkenaan dan anggota konvoi juga akan turut memasuki kawasan pedalaman di Kinabatangan, Sabah dengan menaiki bot demi memastikan sumbangan itu sampai kepada masyarakat di sana, katanya. -- BERNAMA