24
Sab, Jun
723 ARTIKEL BARU

PAS Selar Muhyiddin Kutip Maklumat ‘Tepi Jalan’

Politik
Typography

KOTA BHARU - Pas menyelar tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana percaya bulat-bulat dengan khabar angin sehingga menuduh Pas mahu bertahaluf siyasi dengan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan pihaknya sudah berkali-kali membuat penafian rasmi atau tidak rasmi mengenai dakwaan wujud kerjasama politik antara Pas dengan UMNO.

Katanya, Muhyiddin sepatutnya menentukan kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu dan bukannya terus membuat kenyataan berdasarkan khabar angin yang tersebar.

“Majlis Syura Pas sendiri sudah buat ketetapan rasmi (tiada kerjasama dengan UMNO). Saya fikir sebagai pemimpin sebuah parti, kalau percaya kepada maklumat yang dikutip tepi jalan, kita tidak layak bercakap sebagai pemimpin.

“Beliau (Muhyiddin) sepatutnya dapatkan maklumat yang betul,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pelancaran Tabung Ihya Ramadan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Medan Ilmu, di sini hari ini.

Pelancaran tabung tersebut disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Dalam sidang akhbar di Johor semalam, Muhyiddin berkata, Pas mahu bertahaluf siyasi dengan UMNO kerana Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin didakwa mengeluarkan kenyataan parti itu tidak akan bertanding di kerusi ditandingi UMNO dalam PRU-14.

 

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PPBM kini mula berterusan memburukkan Pas mungkin kerana kecewa parti itu tidak menyertai Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP. - TV14