17
Kha, Ogs
843 ARTIKEL BARU

Siasatan DOJ: Malaysia Berhak Tahu Identiti Pengadu - Rahman

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Malaysia berhak untuk mengetahui identiti pengadu yang membawa kepada siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhubung 1MDB.

Menurut Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, beliau mengesyaki pengadu terbabit adalah rakyat Malaysia yang mempunyai agenda politik jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan.

“Secara jelas, siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat ini dicetuskan oleh aduan yang dibuat oleh pihak tertentu. Saya mengesyaki pengadu terbabit adalah rakyat Malaysia yang mempunyai agenda politik jahat terhadap Perdana Menteri dan kerajaan. 

“Malaysia berhak mengetahui siapa pengadu terbabit dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat perlu mendedahkan identiti mereka agar Malaysia mengesahkan apa kaitan pengadu terbabit dengan agenda parti pembangkang bagi mengguling Perdana Menteri dan kerajaan yang dipilih secara demokrasi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia sudahpun menjalankan siasatan terperinci. 

Secara khususnya, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) yang terdiri dari kedua-dua ahli parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang, tidak menemui sebarang bukti dana diseleweng dari 1MDB.

“1MDB bukanlah pihak yang disaman dalam saman sivil berkenaan. Malah, aset yang didakwa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat diperolehi dari sumber yang salah dan mahu dilucuthak, secara faktanya dibeli oleh entiti yang tidak dimiliki atau dikawal mahupun berkaitan dengan 1MDB,” jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.