12
Sel, Dis
884 ARTIKEL BARU

Nasib PPBM Lebih Malang Daripada Semangat 46

Politik
Typography

NAMPAK gayanya nasib Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lebih malang daripada parti serpihan UMNO yang pernah wujud satu ketika dahulu iaitu Parti Melayu Semangat 46.

Dari segi persamaan, kedua-dua parti itu wujud atas dasar protes kepada kepimpinan UMNO. Dan inilah yang akan menjadi faktor kenapa PPBM tidak akan kekal lama. Parti ini akan jadi macam Semangat 46 yang mana akhirnya, ahli parti ini akan kembali kepada UMNO.

Buktinya semakin terserlah. Terbaru seramai 200 orang anggota PPBM Melaka bertindak meninggalkan parti itu kerana hilang kepercayaan terhadap hala tuju dan perjuangannya.

Bekas Ketua penyelaras Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Melaka, Mohd Hazif Iskandar Mohd Jamil seperti dilaporkan media hujung minggu lalu berkata beliau dan anggota lain memutuskan untuk kembali kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Kami membuat keputusaan secara rela hati dan tanpa paksaan kerana ingin kembali ke pangkal jalan setelah hampir setahun berjuang melawan arus," beliau dipetik sebagai berkata.

Mohd Hafiz, 32, berkata beliau dan rakan-rakannya memilih kembali kepada UMNO kerana percaya hanya parti itu yang dapat memperjuangkan kepentingan rakyat.

Beliau mendakwa kepimpinan PPBM tidak menjaga kebajikan anggota dan hanya mengguna khidmat mereka terutamanya anggota muda tanpa menghargainya.

"Selepas selesai mengguna kami...mereka (pemimpin PBBM)  nak ucapkan terima kasih pun susah... hanya mencari kami apabila mereka perlukan tenaga kami," katanya sambil memberitahu bahawa lebih ramai lagi anggota PPBM dijangka menyertai semula UMNO.

Untuk rekod, Semangat 46 yang dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah ditubuhkan tahun 1988 dan sempat bertahan selama lapan tahun apabila ia dibubarkan pada Mei 1996 dan beliau kembali bersama UMNO.