17
Sel, Okt
757 ARTIKEL BARU

Zaid 'Umum' Kabinet HARAPAN

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim 'mengumumkan' senarai kabinet bayangan Pakatan Harapannya sendiri bagi membuktikan pembangkang bersedia untuk mengambil alih Putrajaya.

"Sementara menunggu pemimpin pembangkang untuk bersetuju siapa yang patut menjadi perdana menteri, mengapa tidak selami senarai saya mengenai anggota kabinet dalam kerajaan baru.

"Ia juga akan mengelakkan pertikaian baru daripada meletus di kalangan semua pihak, yang hanya akan melemahkan pakatan rapuh ini," jelasnya menerusi satu catatan pada blognya. 

Bagi jawatan perdana menteri, Zaid menegaskan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan calon paling layak untuk menduduki kerusi itu sementara bagi jawatan timbalan perdana menteri pula, beliau mencadangkan ia dibiarkan kosong sambil membayangkan Anwar mungkin sesuai menduduki kerusi tersebut setelah proses pembebasan dan 'penempatan' beliau selesai.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, katanya, wajar dinobatkan sebagai menteri minyak dan tenaga dengan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) diletakkan di bawah kementerian itu, berlainan dengan sistem sekarang yang mengamalkan kawalan perdana menteri secara solo ke atas firma gergasi tempatan itu.

Zaid turut mencadangkan Datuk Seri Azmin Ali diangkat menjadi menteri kewangan manakala pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang pula menerajui kementerian pendidikan.

Kementerian Dalam Negeri pula diberikan kepada pemimpin dari PPBM, katanya.

Pada masa yang sama, Zaid turut memetik beberapa nama lain seperti R. Sivarasa daripada PKR bagi menjadi peguam negara, Tony Pua dari DAP diangkat menjadi menteri perdagangan serta Rafizi Ramli mengepalai kementerian baru yang menjaga hal-ehwal MARA, Felcra, Risda, Felda and Tabung Haji.

"Saya juga cadangkan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dari AMANAH mengetuai kementerian baru yang menjaga hal-ehwal agama, Mohamad Sabu dari parti yang sama menjadi menteri pertahanan dan kementerian pengangkutan diserahkan kepada Liew Chin Tong dari DAP," tambah Zaid.

Nama-nama lain yang turut dicadangkan Zaid ialah Saifuddin Nasution Ismail dari PKR untuk menjawat kerusi menteri telekomunikasi, sains dan teknologi, pemimpin kanan BERSATU untuk jawatan menteri luar dan Nurul Izzah Anwar mengambil alih kementerian Wilayah Persekutuan.

"Syed Saddiq Abdul Rahman wajar dilantik menjadi menteri belia dan sukan manakala jawatan menteri pembangunan wanita dan perkembangan kanak-kanak diberikan kepada pemimpin wanita DAP," katanya lagi.

Namun begitu di dalam banyak-banyak nama yang dipetik, Zaid langsung tidak menyebut nama ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sama ada kekal di jawatan yang sama atau diangkat untuk mengepalai mana-mana kementerian.

Mungkin juga Zaid berpendapat ketika itu Guan Eng sudah dipenjarakan setelah didapati bersalah di atas pertuduhan rasuahnya yang sedang berjalan sekarang ini.

Zaid juga tidak menyebut nama Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam cadangan beliau mengenai kabinet HARAPAN itu.