21
Sel, Nov
913 ARTIKEL BARU

Siapa Mempunyai Kuasa Eksekutif Dalam Pakatan Pembangkang?

Politik
Typography

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, pengumuman senarai kepe­mimpinan tertinggi Pakatan Harapan yang diketuai DAP me­nimbulkan tanda tanya berhubung tiga jawatan tertinggi pakatan itu.

“Ini kerana antara tiga jawatan ter­tingginya - Ketua Umum, Pengerusi dan Presiden tidak dinyatakan siapakah yang mempunyai kuasa eksekutif dan kata putus terakhir dalam pembuatan keputusan,” katanya dalam catatan blognya semalam.

Pakatan Harapan yang diketuai DAP mengumumkan struktur kepemimpinan baharu yang diterajui Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi; Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR - Ketua Umum); Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR - Presi­den).

Pakatan itu turut mena­ma­kan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (PAN) sebagai Timbalan Presiden.

Salleh turut mempersoalkan mengapa DAP tidak memegang salah satu jawatan tertinggi, sedangkan parti itu mempunyai bilangan anggota Parlimen terbanyak dalam pakatan itu.

“Apakah DAP dipinggirkan atau ini disengajakan supaya pakatan ini dilihat sebagai didominasi oleh orang Melayu?” katanya.

Biar apa pun strategi pakatan pembangkang, beliau berkata, kemunculan pakatan pembangkang tidak sama dengan Barisan Nasional (BN) yang telah teruji menerusi kerjasama parti komponen pelbagai kaum dan sikap tolak ansur pemimpinnya tanpa mengabaikan prinsip-prinsip parti.

Salleh berkata, sebaik sahaja mengumumkan barisan baharu kepemimpinannya, pakatan pembangkang telah pun memberikan janji politik yang hendak dilakukan dalam tempoh 100 hari setelah berkuasa.

Tegasnya, adalah lebih baik bagi pakatan pembangkang menamakan dahulu Per­dana Menteri pilihan mereka berbanding membuat janji.

“Pelik rasanya apabila ditanya hal ini oleh pemberita, Pengerusinya menjawab: “Kita isytiharkan Perdana Menteri kelapan dahulu. Perdana Menteri ketujuh kita tentukan kemudian”.

“Dengan barisan kepimpinan pakatan pembangkang yang sebegini, boleh­kah kita memberi kepercayaan kepada mereka untuk menerajui negara? Tentunya tidak kerana masa depan negara bukanlah untuk diperjudikan,” kata Salleh.