21
Sel, Nov
913 ARTIKEL BARU

PM Minta Rakyat Jangan Gadai Masa Depan Pilih Parti Tidak Stabil

Politik
Typography

KLUANG - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya jangan menggadai masa depan dengan memilih parti yang tidak stabil untuk mengemudi negara.

Sebaliknya, beliau meminta mereka memilih parti yang kukuh untuk mentadbir negara yang mana telah membuktikan pencapaiannya menerusi kejayaan yang dikecapi negara selama ini.

"Jadi, janganlah kita gadai masa depan kita. Janganlah pilih orang yang bercelaru, tidak tahu siapa tauke sebenarnya. Masing-masing ada jawatan, tidak tahu siapa bosnya.

"...kita mesti pilih parti yang kukuh terbukti mampu mentadbir negara," kata beliau ketika berucap pada Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2017 di Stadium Mini, Taman Sri Lambak, Sembrong di sini, malam ini.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata parti yang memerintah telah membawa negara mengecapi keamanan dan keselamatan sehingga menduduki kedudukan ke-29 daripada 163 negara paling aman berdasarkan statistik Institut Ekonomi dan Keamanan bulan lepas.

Malah, Amerika Syarikat juga sekadar berada di kedudukan corot iaitu ke-114 dalam senarai negara paling aman, kata perdana menteri.

Najib turut menzahirkan penghargaan terhadap pasukan Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta pasukan-pasukan keselamatan negara yang telah memberi sumbangan dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara dapat dicapai.

Faktor lain yang turut menyumbang kepada pencapaian menakjubkan negara ialah kerajaan mempunyai misi, visi dan perancangan bagi membawa rakyat dan negara mencapai status negara maju pada masa hadapan termasuk menambah baik sistem pengangkutan awam selari dengan pencapaian negara, kata beliau.

"Ini termasuk tren berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura melalui Johor serta MRT di Lembah Klang.

"Kita ada kemampuan untuk melaksanakan, kita bukan cakap omong kosong. Tidak! Kita cakap dan kita boleh buat, bukan macam pembangkang, dia boleh janji macam-macam tetapi habuk pun tidak dapat.

"Kita boleh buat dan Insya-Allah, kita boleh buat banyak lagi," kata perdana menteri.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan persetujuan untuk meluluskan permohonan pembinaan 500 rumah mampu milik di Paloh dan 500 rumah generasi kedua Felda di Kahang selain Pondok Polis Taman Seri Lambak dinaik taraf kepada Balai Polis.

Turut hadir pada Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2017 itu ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis.

Selain itu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz turut hadir.

 

- BERNAMA