20
Rab, Sep
672 ARTIKEL BARU

Pertelingkahan Lampau Bukti PH Tidak Akan Kekal Lama – GAUM

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Sejarah telah membuktikan betapa rapuhnya gabungan parti pembangkang sebelum ini apabila Pakatan Rakyat (PR) yang ditubuhkan sebelum Pakatan Harapan (PH) yang telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Pulau Pinang, Selangor termasuk Kelantan telah dibubarkan akibat perbezaan ideologi pimpinan parti mereka.

Menurut Pengerusi Gerakan Akar Umbi Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar, masalah utama yang jelas akan menghancurkan PH kelak adalah mengenai pemilihan jawatan Perdana Menteri jika ditakdirkan Pakatan Harapan memerintah kelak.

“Walaupun Tun Mahathir sebelum ini telah bersetuju menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika PH memerintah, namun umum mengetahui Anwar kini berada di dalam penjara dan adalah terlalu mustahil untuk Anwar bertanding pada pilihan raya ke 14 akan datang ini yang tempoh akhirnya pada Jun 2018.

“Apabila Tun Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin pula dipilih sebagai Perdana Menteri sehingga menunggu pemgampunan Di Raja untuk membolehkan Anwar bertanding pada pilihan raya kecil sebagai syarat untuk menjadi Perdana Menteri, timbul pula persoalan adakah dengan mudah Tun Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin akan meyerahkan jawatan Perdana Menteri tersebut kepada Anwar Ibrahim, sebelum ini secara jelas Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin tidak bersetuju Anwar menjadi Perdana Menteri,” ujarnya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zulkarnain, adalah  tidak mustahil jika Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah turut menjadi salah seorang calon sesuai sementara bagi jawatan Perdana Menteri Malayisa namun ianya tidak mudah untuk Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tun Mahathir serta Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju dengan pemilihan ini.

Justeru, jelas beliau, adalah terlalu mustahil untuk gabungan ini akan kekal lama memandangkan kesemua parti-parti gabungan ini dibarisi oleh pemimpin yang mempunyai ideologi politik yang sangat jauh berbeza antara satu dengan yang lain.

“Oleh sebab itu senario politik terkini yang melibatkan Pakatan Harapan jelas boleh merisaukan kesemua rakyat Malaysia.

“Adakah keadaan yang sama akan dilalui oleh rakyat Malaysia apabila Pakatan Harapan diberikan peluang untuk memerintah Malaysia pada masa yang akan datang.

“Justeru rakyat diminta berfikiran cukup matang bagi menilai keadaan politik Pakatan Harapan ketika ini untuk masa depan rakyat Malaysia itu sendiri,” katanya.