23
Sab, Sep
704 ARTIKEL BARU

Alahai Pakatan Harapan..Projek P. Pinang Pun Tak Jalan, Apa Lagi Nak Buat MRT

Politik
Typography

NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar beberapa hari yang sudah dilaporkan mendakwa kononnya Pakatan Harapan (PH) boleh menyediakan projek Transit Aliran Massa (MRT) yang lebih baik daripada kerajaan persekutuan tanpa pembaziran yang besar.

Menurutnya, PH bersama gabungan parti mereka mampu mentadbir negara jauh lebih baik untuk rakyat sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Tanpa segan silu Najib Razak mendabik dada dengan mengatakan 'saya hadiahkan MRT kepada rakyat Sg Buloh dan Kajang'.

"Tapi saya nak beritahu Najib Razak, tanpa pembaziran daripada PH bersama mantan TPM (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan PM (Tun Dr Mahathir Mohamad) kita boleh membina projek MRT dengan laluan lebih besar, kos rendah," beliau dipetik sebagai berkata.

Namun begitu satu perkara yang kelakar adalah apabila tergamaknya Nurul Izzah mendakwa boleh menawarkan perkhidmatan MRT tanpa pembaziran yang besar sedangkan di Pulau Pinang, negeri yang ditadbir oleh DAP, salah satu sekutu PH terbukti telah membelanjakan harta rakyat untuk membayar yuran perundingan empat kali ganda lebih mahal dari yang sepatutnya kepada kontraktor yang dilantik Ketua Menteri Lim Guan Eng. Kenapa Nurul Izzah tidak mengeluarkan kenyataan PH boleh membuat kajian dengan kos yang lebih murah?

Nurul Izzah tidak tahukah yang Lim Guan Eng berbelanja harta rakyat bernilai RM305 juta hanya untuk kertas kajian sahaja? Harta rakyat bernilai RM 220 juta sudah lesap tapi seinci jalan pun tak nampak lagi. Bukankah seharusnya Nurul Izzah memberikan perhatian terhadap perkara ini?

Dan alang-alang dah sebut pasal Pulau Pinang, elok juga kalau dibangkitkan mengenai tindakan ADUN Penanti (PKR) Norlela Ariffin yang mempersoalkan mengenai Projek LRT di Pulau Pinang sepanjang 30km bernilai RM24 bilion yang mana jumlahnya adalah lebih mahal daripada laluan 51km MRT Sungai Buloh – Kajang (SBK).

Ujar Norlela, laluan MRT SBK lebih panjang dan mempunyai lebih banyak stesen disiapkan dengan harga RM21 bilion – lebih rendah daripada projek LRT yang dicadangkan akan dibina oleh kerajaan DAP Pulau Pinang yang diterajui Lim Guan Eng.

“Nak tanya (syarikat) SRS (Konsortium) di mesyuarat Majlis Penangkutan Awam P.P (Pulau Pinang) pada 20hb Julai kenapa tak buat MRT sebab lebih murah kos/km dari kos LRT Komtar – Bayan Lepas yang (bernilai) RM24 bilion dan kena tambak laut 4,500 ekar,” Norlela dipetik sebagai berkata.

Justeru itu Nurul Izzah tidak seharusnya menampilkan sifat-sifat yang tidak keterlaluan dikatakan seolah-olah sedang meroyan. Sebaliknya adalah lebih baik beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di atas keprihatinan beliau terhadap kepentingan rakyat dengan menyediakan infrastruktur yang bertaraf dunia untuk dinikmati di negara ini.