17
Kha, Ogs
843 ARTIKEL BARU

DAP Resah PAS Jumpa 1MDB – Annuar Musa

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – DAP dan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) ‘tidak senang duduk’ susulan perjumpaan pemimpin-pemimpin PAS dengan pihak pengurusan 1MDB, ujar Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Ini kerana katanya, tindakan PAS itu boleh merugikan DAP yang berniat untuk terus memutarbelitkan isu berkenaan 1MDB.

“Parti pembangkang ini sangat mengharapkan bahawa segalanya berjalan mengikut acuan mereka. Mereka mahu rakyat terus kalut dengan isu GST yang mereka cuba spinkan, isu 1MDB yang mereka cuba drag.

“Tapi oleh kerana apa juga yang mereka bawa itu telah diberikan jawapan oleh kerajaan, dan rakyat lebih pintar lagi mereka mendengar dan kemudian mendapatkan maklumat seterusnya, dan kita dapati kesangsian rakyat terhadap isu-isu tertentu itu makin berkurangan.

“Ada kajian menunjukkan bahawa pemerhatian rakyat terhadap isu seperti 1MDB misalnya, sebenarnya sudah menurun sehingga ke tahap 25 peratus berbanding setahun yang lalu. Ertinya rakyat sudah bosan dengan isu yang dispin, yang tidak berasaskan kepada fakta yang lebih cuba dipolitikkan.

“Jadi apabila berlaku perkembangan yang tidak selari dengan mereka seperti perjumpaan PAS dengan pengurusan 1MDB, sudah tentulah DAP dan parti-parti yang bersamanya merasa resah,” ujar Annuar.

Menurut ahli Parlimen Ketereh itu lagi, perjumpaan itu juga menunjukkan pihak pengurusan 1MDB sebenarnya berpandangan jauh.

“Ini kerana PAS mengambil pendirian yang sangat berbeza kerana PAS tidak berminat untuk spin. Mereka pergi untuk mendapatkan fakta. Dan pihak pengurusan 1MDB saya difahamkan telah memberikan penjelasan terutamanya sekali tentang pelan rasionalisasi.

“Bermakna pengurusan 1MDB memandang ke hadapan, lebih tertumpu untuk membincangkan bagaimana syarikat itu harus berdaya maju, bagaimana syarikat itu harus diperbetulkan kesilapannya.

“Kerana keutamaan 1MDB dan kerajaan adalah memastikan entiti 1MDB itu berada pada landasannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui KLXPRESS di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut mengenainya, beliau berpandangan kenyataan yang dibuat PAS selepas perjumpaan dengan 1MDB itu adalah masuk akal dan tidak berunsurkan politik.

“Jadi bila PAS buat kenyataan mereka puas hati, saya fikir itu satu kenyataan yang masuk akal dan tidak ada unsur-unsur politik.

“DAP merasa marah dan tertinggal kerana PAS menunjukkan satu sikap yang berbeza dengan mereka dan merugikan mereka. Jadi sebab itu mereka marah,” katanya.

PAS baru-baru ini berkata mereka berpuas hati selepas mendengar penjelasan mengenai hutang yang ditanggung 1MDB dan pelan rasionalisasi hutang itu dari presiden 1MDB sendiri, Arul Kanda Kandasamy.

Arul Kanda memberikan penerangan kira-kira 2 jam kepada Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan hampir 30 ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, serta tokoh jemputan seperti bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.