23
Sab, Sep
704 ARTIKEL BARU

Rakyat Sabah, Sarawak Tetap Berdendam Dengan Tun M

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Layanan berat sebelah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap rakyat Sabah dan Sarawak terlalu mendalam untuk dilupakan, meskipun beliau dilihat cuba mengambil hati rakyat Sabah dan Sarawak melalui manifesto berasingan bersama – sama puak pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

Menurut Pengerusi Gabungan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar, dendam tersebut terjadi disebabkan keengganan Tun Dr Mahathir melantik seorang pun menteri kanan yang berasal dari Sabah dan Sarawak sepanjang 22 tahun pemerintahannya.

“Dalam banyak perkara yang Tun telah lakukan kepada Sabah dan Sarawak cukuplah satu soalan sahaja yang ingin diajukan kepada Tun ialah, sejak Sabah dan Sarawak bersama membentuk Malaysia pada tahun 1963 dan pada masa Tun memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun kenapa tidak ada Menteri Kanan daripada Sabah termasuk Sarawak yang dilantik oleh Tun?

“Adakah Ahli-Ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak pada masa itu tidak mempunyai kelayakan?

“Apa yang pasti dendam rakyat Sabah dan Sarawak kepada Tun Mahathir agak sukar dilupakan meskipun Tun bersama-sama dengan Pakatan Harapan,” ujarnya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Zulkarnain, ia berbeza dengan zaman pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Perdana Menteri terkini, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat perubahan hampir seratus peratus dengan memberi kepercayaan dan melibatkan pelantikan Menteri – Menteri Kanan Persekutuan daripada Sabah dan Sarawak.

“Ketika ini 12 Menteri penuh dan lapan orang Timbalan Menteri telah dilantik daripada Sabah dan Sarawak, manakala Ketua Setiausaha (KSU) daripada Sabah juga telah berjaya dibawa masuk bagi mengiktiraf peranan Sabah dan Sarawak sebagai salah satu negeri yang bersama-sama membentuk Malaysia,” katanya.

 

Terdahulu, Tun Mahathir dipetik sebagai berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan mahu merumuskan satu manifesto yang khusus untuk Sabah dan Sarawak bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang malah turut menekankan kepentingan gabungan pembangkang itu memahami masalah dan perasaan masyarakat Sabah dan Sarawak.