20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Bukan Puad, Tapi Anwar Yang Sepatutnya Didakwa Mencela Saksi Dan Menghina RCI

Politik
Typography

SELEPAS meneliti kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Ogos 2017, yang disiarkan Malaysiakini menerusi laporan bertajuk "Anwar tuntut hak jawab 'tuduhan jahat' Murad", berbanding pertanyaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia Datuk Dr Hj Mohd Puad Zarkashi, didapati kenyataan Anwar lebih berat lagi dan menepati tafsiran kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Di dalam laporan tersebut, Malaysiakini melaporkan reaksi balas Anwar terhadap kenyataan yang dibuat oleh bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid semasa prosiding RCI pada 21 Ogos. Anwar, seperti laporan Malaysiakini mendakwa kenyataan Murad adalah "palsu belaka".

Selain mendakwa Murad menipu, Anwar turut mendakwa bahawa, "kenyataan Abdul Murad itu bernada sindiran, berniat jahat dan menunjukkan seolah-olah mahu kerugian dialami Bank Negara ditutup daripada pengetahuan ramai."

Anwar sekali lagi menyerang Murad dan menggambarkan beliau sebagai penipu apabila menyatakan "Abdul Murad mulai memusuhi saya (Anwar) secara peribadi sejak 1999 apabila beliau membuat akuan berkanun palsu terhadap saya.

Nada dan dakwaan Anwar ini nampaknya lebih menepati deskripsi kesalahan di bawah Seksyen 12(2), iaitu "mencela mana-mana orang kerana telah memberikan keterangan, atau disebabkan oleh keterangan yang telah diberikan di hadapan Pesuruhjaya."

Selain Anwar,  Majlis Peguam juga pernah melakukan kesalahan menghina Suruhanjaya RCI.

Malaysiakini pada 23 Julai 2011 melalui laporan bertajuk "K'jaan harus mohon maaf kata Majlis Peguam" melaporkan bahawa Majlis Peguam menolak penemuan Suruhanjaya Diraja yang mendapati pembantu politik DAP Teoh Beng Hock membunuh diri.

Portal itu juga memetik kenyataan, presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee yang mahu kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon maaf kepada keluarga Teoh dan memberi pampasan sewajarnya atas kehilangan mereka itu.

Datuk Khairuddin Abu Hassan mungkin tidak memahami perkara ini tetapi agak pelik jika Mohd Haniff Khatri Abdulla juga tidak memahaminya. Adalah lebih wajar jika Mohd Haniff dan Khairuddin  meneliti terlebih dahulu Seksyen 12(2) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 sebelum mendakwa kenyataan Puad melanggar maruah, kesucian dan kedudukan RCI. Selepas membaca Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 tersebut bolehlah mereka berdua membuat laporan polis dan meminta RCI menyiasat serta menghukum Anwar dan Majlis Peguam pula.

 

Ditulis Oleh,

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)