20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Pemimpin PKR Dedah Sifat Sebenar Rafizi

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli adalah seorang individu yang suka berbohong apabila memutarbelit pelbagai fakta mengenai Langkah Kajang dan perpecahan dalam parti itu.

Menurut ahli Majlis Kepimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya menerusi status dimuatnaik di Facebook miliknya, Rafizi akan memutarbelit kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kesian, sehari semalam dia pikir macam mana nak bagi spin (putarbelit) kepada kenyataan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Hahaha, last2 (akhirnya) kuar cerita dongeng,” tulis Latheefa dalam status tersebut.

Menurutnya lagi, sebab utama Langkah Kajang adalah bagi menghalang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dari mengambilalih jawatan Menteri Besar Selangor.

Melalui status Latheefa yang juga peguam kepada Anwar, beliau berkata adalah salah untuk Rafizi menuding jari dan menyalahkan orang lain walhal dia (Rafizi) adalah arkitek kepada kegagalan Langkah Kajang.

“Kenapa Langkah Kajang berlaku? Kerana dia (Rafizi) mahu memastikan Azmin Ali yang ketika itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri tidak menjadi Menteri Besar Selangor.

“Kita sebenarnya boleh mengelak kegagalan dan kekecohan itu disebabkan Langkah Kajang dan Anwar akan masih bersama kita pada hari ini. Jika tidak kerana Langkah Kajang (perpecahan tidak akan berlaku),” katanya.

Rafizi sebelum ini dalam satu kenyataan di Facebook mendakwa bekas pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenevasan telah membantu menggulingkan Tan Sri Khalid Ibrahim dari jawatan Menteri Besar Selangor.

Latheefa bagaimanapun menafikan pembohongan Rafizi itu.

“Pada ketika itu, Ambiga telah mengkritik Langkah Kajang dan bertegas membantahnya. Rafizi kemudian berpura-pura meminta maaf secara terbuka dan mendakwa dia akan memberi penjelasan kepada masyarakat.

“Kini, nadanya sudah berubah. Dia kini bagai seorang pembohong licik menuduh kononnya Ambiga turut memberikannya beberapa dokumen, memberi gambaran kononnya Ambiga turut terlibat dalam menggulingkan Khalid Ibrahim, walhal hakikatnya dia tahu Ambiga tak pernah terlibat mahupun mana-mana pihak luar terlibat dalam Langkah Kajang cetusan ideanya sendiri,” kata Latheefa.

Selain itu Latheefa turut mendedahkan Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan itu tidak pernah memberi pertimbangan akibat dari Langkah Kajang itu, malah perbualannya dengan Rafizi selepas satu forum awam pada Februari 2014 mendedahkan kelemahan pada perancangan Rafizi itu.

“Selepas forum itu, kami ke Bangsar untuk minum teh. Di situ saya bertanya kepadanya, hey apa akan jadi jika Anwar disabitkan (kerana pada masa itu, rayuan pihak pendakwaan terhadap kes liwat Anwar masih lagi menunggu untuk penetapan pengurusan kes).

“Anda tahu apa jawapannya? Opps! Saya tidak pernah terfikir!” Adakah dia akan menafikan dia berkata begitu kepada saya?” soal beliau.

Rafizi juga dakwanya mempergunakan beberapa individu untuk kepentingan dirinya sendiri dengan memberi wang dan memberi gambaran kononnya mereka adalah penting.

Selain itu, Latheefa turut mendedahkan Rafizi memberikan kenyataan kononnya sebagai eksklusif namun sebenarnya adalah palsu.

“Media akan diberi versi dia dalam Whatsapp group khas dengan dia. Diaorang (wartawan) ingat dapat eksklusif tapi sebenarnya palsu,” dedah Latheefa.