25
Sab, Nov
948 ARTIKEL BARU

DAP Mempergunakan Parti Melayu Dalam Pakatan Harapan

Politik
Typography

SEREMBAN - DAP sentiasa mempergunakan parti yang diterajui oleh orang Melayu dalam usaha mereka untuk meraih sokongan dalam setiap pilihan raya umum.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, ini terbukti dalam siri pilihan raya yang lalu apabila mereka mempergunakan Pas untuk mendapatkan undi dari kaum Melayu.

"Fakta sejarah telah memperlihatkan bagaimana DAP menggunakan Pas bagi mendapat undi kaum Melayu terutama di kawasan yang ditandingi oleh MCA.

"Apabila hajat mereka tercapai pelbagai tomahan dilemparkan kepada Pas, dengan mendakwa Pas tidak mengikut piagam mereka, hukum hudud dan pelbagai lagi," katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di Lenggeng dekat sini.

Seramai 39 mangsa banjir menerima saguhati yang mana ia bertujuan untuk meringankan beban mereka selepas rumah ditenggelami air Sabtu lalu.

Sin Woon berkata, apabila Pas menyedari mereka dipergunakan oleh DAP, lalu mengambil keputusan untuk meninggalkan pakatan pembangkang, walaupun pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat(PKR) merayu agar mereka kembali.

Tambahnya lagi, ini membuktikan tanpa kekuatan dari Pas adalah sukar untuk Pakatan Harapan  mengumpulkan sokongan  orang Melayu memandangkan mereka sendiri berpecah belah.

Menurutnya, sebagai contoh di Selangor ada kumpulan yang mahukan Pas ada juga yang menolak, ini mengambarkan mereka tiada pendirian.

"Berlainan dengan Barisan Nasional (BN) kami satu hati dalam apa jua urusan baik dalam pentadbiran  kerajaan dan parti mahupun pembahagian kerusi  pilihan raya, perkara ini diamalkan sejak 60 tahun yang lalu.

"Kami (BN) tidak merajuk atau bergaduh sesama sendiri. Apa yang penting adalah kebajikan rakyat yang perlu dijaga, malah rakyat tahu parti yang mana sentiasa mendahului mereka dalam semua perkara," katanya.

 

ARHIZA AHMAD

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.