17
Sel, Okt
760 ARTIKEL BARU

Jabatan Agama Islam Dianaktirikan Kerajaan Negeri Dibawah Pimpinan Azmin Ali

Politik
Typography

SUBANG -Ketua Penerangan UMNO Selangor, Dato Zein Isma Ismail mendakwa, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah dianaktirikan oleh Menteri Besar,l Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berdasarkan aduan dan rungutan yang beliau terima daripada kakitangan jabatan agama itu sendiri.

Menurut Zein, ada beberapa peraturan yang dibuat oleh kerajaan negeri termasuk memotong elaun dan kerja lebih masa yang tidak dibayar, sebaliknya digantikan dengan cuti yang menimbulkan kegelisahan di kalangan pekerja di pejabat agama.

"Saya sendiri mendengar rungutan dan aduan oleh beberapa kakitangan jabatan agama Islam Selangor yang ternyata agak ralat dengan tindakan kerajaan memotong peruntukan bagi pejabat agama sehingga menyukarkan mereka untuk melaksanakan tugas-tugas mereka.

"Bahkan hari ini tiada lagi bayaran kerja lebih masa, terutama bagi penguatkuasa yang membenteras maksiat yang bertugas melebihi masa sehingga ke malam hari, sebaliknya hanya diberikan cuti sebagai ganti.

"Begitu juga dengan sikap kerajaan negeri yang acuh tidak acuh dengan sebarang cadangan dan usaha penambaikan pejabat agama.

Mengulas lebih lanjut tentang perkara ini, Zein yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Subang, turut mendedahkan bahawa lebih 6900 guru KAFA yang dijanjikan akan diserap ke jawatan tetap kini masih ternanti-nanti janji kerajaan negeri, seolah-olah menunggu buah yang tidak gugur.

"Yang lebih membimbangkan apabila kuasa politik mencengkam pelaksanaan agama apabila ada beberapa fatwa mufti Kerajaan Negeri Selangor yang tidak diwartakan oleh kerajaan negeri, kerana bertentangan dengan dasar dan prinsip pentadbiran Azmin Ali.

"Bahkan masjid juga kini kembali dijadikan tempat berpolitik bukan sahaja dati sudut ceramahnya sahaja, malah pemilihan AJK Masjid juga sudah dicaturi oleh 'tangan-tangan ghaib' yang bermotifkan kepentingan politik," ujarnya lagi.

Tambah Zein, inilah natijahnya apabila rakyat Selangor, khususnya umat Islam berada di bawah pemerintahan dan pentadbiran Pakatan Harapan yang dikuasai oleh DAP.

"Apa guna kita ada Menteri Besar di kalangan orang Melayu, tetapi tidak dapat membela dan memberi sokongan terhadap usaha-usaha menegakkan syiar Islam yang dilakukan oleh jabatan Agama Islam negeri?

"Sebab itu saya menyeru orang Melayu dan umat Islam sedar, berada di bawah pentadbiran sebuab kerajaan yang dkuasai oleh DAP, syiar Islam tidak akan ke mana dan kita bimbang, ianya semakin layu di bumi Selangor," katanya lagi.

Beliau menyeru umat Islam di Selangor untuk merenung kembali,  sepanjang Azmin menjadi Menteri Besar,  apa agenda islam yang beliau jadikan sebagai dasar dalam pentadbiran beliau?

"Isu kebenaran pesta arak itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa sebagai seorang pemimpin Islam, beliau sendiri tidak mampu untuk menghalang pesta tersebut di atas kapasitinya sebagai Menteri Besar.

"Apa yang jelas, siapa saja Menteri Besar atau Ketua Menteri, atau Perdana Menteri sekalipun akan tunduk kepada agenda DAP yang merupakan parti terkuat di dalam Pakatan Harapan.

 

"DAP yang merupakan sebuah parti politik berideologi sekular sudah tentunya tidak begitu berminat di dalam soal-soal  berhubung sebarang usaha penambahbaikan dan pelaksanaan dasar-dasar pentadbiran Islam, dan hanya akan dipandang sebelah mata sahaja mereka," tegasnya.