13
Rab, Dis
893 ARTIKEL BARU

Bekas Penyokong DAP Tolak Kit Siang Jadi PM

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang masih belum mampu untuk diangkat menjadi Perdana Menteri, malah tindakan tersebut hanya akan mendatangkan huru – hara dalam kalangan anggota Pakatan Harapan (PH).

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee, ia berikutan kurangnya pengalaman pemimpin DAP itu, termasuk tidak pernah menyandang mana-mana jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri selain parti.

“Kit Siang tidak pernah menjadi menteri atau memegang jawatan Exco, jadi bagaimana kita boleh menilai beliau akan menjadi Perdana Menteri yang lebih baik.

“Malah, sekiranya Kit Siang dilantik sebagai Perdana Menteri dikhuatiri Pakatan Harapan juga akan menjadi huru-hara dan tahapnya tidak dapat dijangkakan,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Sementara itu, bekas ahli DAP seumur hidup, Shahmsher Singh Thind turut menyatakan pendirian yang sama, malah menempelak kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang menyatakan sokongan terhadap pencalonan Kit Siang sebagai Perdana Menteri.

“Saya tidak pasti sama ada Zaid sedang mengipas Kit Siang untuk mendapat kerusi bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 atau diupah untuk menamatkan riwayat politik pemimpin veteran itu dengan membuat kenyataan sedemikian, jika benar dibuat olehnya,” kata beliau.

Menurutnya lagi, Zaid dan Kit Siang tidak layak mempertikaikan mengenai isu kepercayaan kerana kedua-dua pemimpin itu sedang bekerjasama dengan individu yang sebelum ini pernah menuduh mereka melakukan salah guna kuasa dan rasuah.

“Mungkin Zaid terlupa bahawa UMNO sekarang yang dikatakan rasis adalah diwujudkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1988,” tegasnya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy bertindak 'melambung' Kit Siang sebagai calon paling layak untuk dijadikan pemimpin nombor satu negara.

 

Disamping menyifatkan Kit Siang sebagai pemimpin agung, Ramasamy juga menganggap Ahli Parlimen Gelang Patah itu sebagai terbaik dan paling layak daripada pemimpin lain.