17
Sel, Okt
760 ARTIKEL BARU

Enam Ahli PPBM Disaman Oleh Bekas Ketua Srikandi 

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin telah memfailkan saman terhadap enam ahli PPBM kerana memfitnahnya  menerima wang sejumlah RM7 juta dari Umno sebagai suapan untuk menyertai parti tersebut.

Menurutnya, saman itu telah difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada semalam (Khamis).

“Empat daripada individu terbabit merupakan barisan kepimpinan PPBM Bahagian Langkawi, manakala dua lagi merupakan ahli biasa.

“Tiga minggu lepas peguam saya telah menghantar notis kepada mereka untuk meminta maaf, bagaimana sehingga sekarang mereka enggan berbuat sedemikian. Berikutan itu peguam saya telah memfailkan di mahkamah semalam (Khamis),” katanya dalam satu sidang media.

Anina berkata, beliau juga telah membuat laporan kepada pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan penyebaran fitnah itu di media sosial.

Tambahnya lagi, beliau turut melaporkan perkara tersebut terhadap Jawatankuasa Disiplin PPBM pada 2 Ogos lalu, bagaimanapun tiada sebarang tindakan diambil.

Sementara itu, beliau berpendapatan sidang media Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak lebih daripada usaha untuk menutup kelemahan organisasi mereka.

“Jika benar dia (Syed Saddiq) sudah mengetahui perancangan ‘Rancangan Dedak Terancang’ sejak Disember 2016 kenapa tidak bertindak lebih awal.

“Sepanjang tempoh saya berada dalam PPBM sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi bersama dengan beliau kenapa perkara ini tidak dibangkitkan. Saya percaya mereka ini mempunyai agenda tersembunyi demi kepentingan diri sendiri,” katanya.