24
Jum, Nov
946 ARTIKEL BARU

ROS Perlu Ambil Tindakan Terhadap PPBM - Azalina

Politik
Typography

KOTA TINGGI - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) didesak supaya mengambil tindakan serius terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang tidak mematuhi ketetapan perlembagaan parti.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, tindakan itu wajar kerana mana-mana persatuan atau parti politik tidak seharusnya membelakangkan peraturan atau perlembagaan mereka sendiri.

"Kita ada undang-undang dan peraturan, jadi kita kena ikut undang-undang dan peraturan tersebut. Setiap pertubuhan baharu didaftarkan di ROS sepatutnya faham elemen peraturan dan perlembagaan undang-undang.

"Malulah apabila sebuah parti politik yang mempunyai ramai pengikut dalam kalangan pengamal undang-undang (peguam) tidak menasihatkan tentang undang-undang penubuhan parti," katanya.

Menurutnya lagi, semua pihak boleh untuk mewujudkan persatuan atau parti politik tetapi tidak mudah untuk mereka patuh dan mengikuti segala ketetapan alam perlembagaan mereka.

"Sekadar hendak mewujudkan parti politik semua orang boleh wujudkan parti politik tapi kalau benda yang mudah macam ini pun mereka tidak faham, saya tidak yakin mereka boleh memimpin dan menawarkan diri sebagai pemimpin.

"Bagi saya, kebanyakan dalam parti ini ialah mereka dalam kategori 'marahkan nyamuk kelambu dibakar'. Bila tidak dapat, dia wujudkan atau masuk parti politik baharu," katanya.

1 Nov lalu lapan bahagian PPBM Johor mengemukakan aduan kepada ROS berhubung kegagalan pucuk pimpinan PPBM mematuhi ketetapan perlembagaan parti berkenaan.

Semalam 10 lagi bahagian PPBM Johor membuat aduan kepada ROS berkaitan kepincangan dalam perlembagaan parti serta tindakan menangguhkan perhimpunan agung selama enam bulan lagi.

Antara dibangkitkan adalah penggunaan istilah Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang masih belum diluluskan ROS penggunaannya kerana masih di peringkat permohonan.

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.