24
Jum, Nov
946 ARTIKEL BARU

Muhyiddin Umpama ‘Hidup Segan Mati Tak Mahu’ – Pemikir Muda Johor

Politik
Typography

KEPINCANGAN dalam Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) khususnya di Johor sudah tidak boleh dibendung, apatah lagi ia secara jelas menampakkan kegagalan kepimpinan tertinggi parti berkenaan dalam mentadbir sebuah parti yang kononnya memperjuangkan hak dan demokrasi rakyat marhaen.

Berbekalkan pemimpin – pemimpin hebat seperti Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh benar – benar tidak mampu menangkis tamparan yang diterima Pakatan Harapan Johor gara – gara perpecahan PPBM di negeri itu.

Mengambil luahan yang disuarakan sendiri oleh seorang ahli Persatuan Pemikir Muda Johor, katanya Muhyiddin kini ibarat hidup segan mati tak mahu, apabila terpaksa ke hulu ke hilir di Johor dan hanya mengharapkan simpati ahli parti lain bagi menyambutnya.

“Kenapa ahli PPBM tidak menyambutnya? Sebab mereka sedang menghambatnya dan menghalaunya ke luar,” ujarnya.

Malah, menurut sumber lagi, kes terbaharu yang melihatkan 10 bahagian PPBM di Johor telah mengemukakan laporan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung kegagalan kepimpinan tertingginya mematuhi perlembagaan parti jelas berkait rapat tentang kegagalan semua peringkat cawangan dan bahagian PPBM mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) selepas setahun ia ditubuhkan.

Soalnya, jika dilihat PPBM ini telah diluluskan pendaftarannya pada 2 September 2016 oleh ROS dan mengikut Akta Pertubuhan 1967 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, satu Mesyuarat Agung peringkat cawangan dan bahagian wajib diadakan selepas setahun PPBM ditubuhkan secara rasmi.

“Mengapa PPBM takut mengadakan AGM di dalam parti sendiri? Kegagalan PPBM mengadakan AGM adalah satu tindakan terdesak kepimpinan tertinggi PPBM mengekalkan kuasa dan kroni mereka di dalam parti.

“Ia juga langkah terbaik PPBM menyekat suara akar umbi yang dahagakan saluran rasmi bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepincangan dan pergolakan dalaman parti yang kini sudah menjadi barah di dalam parti,” soalnya lagi.

Menurut sumber lagi, senario ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana sejak parti ini ditubuhkan ia hanyalah sebagai platform kepada sebilangan pemimpin yang hanya menjadikan parti ini sebagai batu loncatan bagi meneruskan survival mereka dalam karier politik.

“Jika PPBM tidak wujud, mana mungkin Tun Mahathir, Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz masuk PKR, parti yang dilahirkan hasil tangan kotor Tun Mahathir, ianya tidak mungkin. Masuk DAP? Parti komunis dan cauvinis, mana Tun M hendak letak muka? Masuk PAN? Cara hidup mereka pun tidak mencerminkan Islam, macam mana PAN nak terima? Maka cara yang terbaik ialah mempergunakan orang Melayu dengan menubuhkan PPBM dengan niat dan tujuan semata-mata mahu meneruskan nafsu politik semata-mata,” katanya.

Tetapi, menurutnya lagi, Tun Mahathir dan beberapa pemimpin parti silap kerana mereka fikir PPBM sentiasa boleh terus hidup sekadar mendambakan retorik semata-mata, sedangkan hakikatnya ramai ahli akar umbi kini mulai sedar dan sudah ramai meninggalkan parti.

Malah, sudah tentu situasi PPBM ini bakal memberikan kesan kepada Pakatan Harapan.

“Bagaimana Pakatan Harapan boleh diterajui oleh pemimpin PPBM, walhal parti mereka sendiri sedang retak menanti belah?,” soalnya.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.