24
Jum, Nov
946 ARTIKEL BARU

1,000 Ahli Umum Keluar Parti, PPBM Bahagian Batu Gajah Bubar

Politik
Typography

KUALA LUMPUR - Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Batu Gajah, Perak, Mohd Shirin Adenan, hari ini mengumumkan keluar parti bersama 18 Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian itu, sekali gus membubarkan bahagian berkenaan.

Difahamkan, tindakan beliau yang disertai lebih 1,000 ahli PPBM bahagian terbabit, menyusul selepas tiga lagi ketua penaja bahagian PPBM di Perak, iaitu Gopeng, Parit dan Kuala Kangsar berbuat demikian sebelum ini.

Mohd Shirin dipetik berkata, kesemua ahli yang keluar parti sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap arah tuju perjuangan PPBM, khususnya di peringkat negeri yang diterajui Faizal Azumu atau lebih dikenali sebagai Peja sebagai Pengerusi PPBM Perak.

"Dia dilantik hanya kerana dia orang (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir). Ia benar-benar membuka mata kami PPBM sebenarnya tidak seperti kami harapkan. Faizal tiada pengalaman untuk menerajui parti baharu, hubungannya juga sangat terbatas.

"Ia membuatkan PPBM Perak tidak ubah seperti sekumpulan anak ayam kehilangan ibu. Kami tidak yakin Faizal mampu menerajui pakatan pembangkang di Perak dan bingung mengapa pemimpin lebih berpengalaman tidak dipilih," katanya dipetik Berita Harian.

Jelas Mohd Shirin, selain soal kepemimpinan negeri, isu terbaru membabitkan status pendaftaran Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) sebagai sayap PPBM juga turut mengecewakan ahli akar umbi.

"Ini membabitkan perlembagaan parti. Isu ini juga tidak dijelaskan dengan baik oleh pimpinan atasan dan ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa cemas dalam kalangan ahli.

"Kami berharap dengan keluar parti dan letak jawatan secara beramai-ramai ini, akan memberikan kesedaran dan keinsafan terhadap pemimpin atasan supaya lebih peka terhadap masalah dalaman parti pada masa hadapan," katanya.

Malah, Mohd Shirin menjelaskan akan ada beberapa ketua penaja bahagian lain yang akan mengikut jejak langkah sama dan sudah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan PPBM negeri.

Katanya, rata-rata ketua penaja bahagian tidak berpuas hati dengan kepemimpinan tertinggi PPBM negeri yang dilihat lemah, tidak pandai menjaga kebajikan ketua penaja bahagian serta orang bawahan.

"Jika PPBM mahu menang pilihan raya dan memberikan impak besar, mereka perlu lipat gandakan usaha, jaga semua jentera, bukan sahaja ARMADA dan Srikandi, tetapi juga semua ketua penaja bahagian," katanya.

 

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.