13
Rab, Dis
893 ARTIKEL BARU

DAP Hantar Memo Larang Ahli Parlimen Isytihar Harta

Politik
Typography

KETIDAKHADIRAN parti DAP semasa program tandatangan akujanji penawaran dana pilihan raya yang digerakkan oleh Kumpulan penyelidikan pilihan raya dari PKR, Invoke Malaysia adalah kerana ahli parlimennya dilarang dari menyertai program kelolaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli itu.

Menurut laporan media tempatan memetik sumber sebagai berkata, arahan larangan program yang mewajibkan setiap calon mengisytiharkan harta setiap tahun tersebut dikeluarkan DAP menerusi sebuah memo yang diedarkan kepada semua wakil rakyatnya menerusi aplikasi Whatsapp.

"Memo itu menyebut "aku janji (mengisytiharkan harta) akan mendatangkan kesusahan kepada parti" terutama ketika pilihan raya semakin tiba," ujar sumber berkenaan, dipetik The Star.

Sementara itu, sumber yang sama turut menjelaskan bahawa memo itu diedarkan didalam perbualan kumpulan aplikasi Whatsapp dengan nama "DAP MPs" yang disertai wakil rakyat dari parti berkenaan.

Namun demikian, kewujudan memo berkenaan dinafikan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Untuk rekod, wakil daripada DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilaporkan tidak menyertai program tandatangan akujanji penawaran dana pilihan raya Invoke yang diadakan di program di Subang Jaya, Selangor pada 19 November lalu.

Invoke menawarkan dana pilihan raya umum (PRU) kepada calon dengan syarat calon berkenaan wajib mengisytihar harta, disamping berikrar taat setia bersama Pakatan Harapan sekiranya menang pilihan raya, namun mereka yang melanggar akujanji boleh didenda sebanyak RM20 juta dan mesti dibayar kepada tabung khusus yang menaja pendidikan anak-anak dan remaja kurang bernasib baik.

Turut dilaporkan, daripada 30 yang terlibat dengan perjanjian penawaran yang mewajibkan pengisytiharan harta itu, 20 wakil adalah daripada PKR, lapan daripada PAN dan seorang daripada PAS, iaitu Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa cadangan tersebut merupakan idea INVOKE, bukannya Pakatan Harapan kerana menurutnya, Majlis Presiden Pakatan Harapan belum membuat sebarang keputusan untuk mengisytiharkan harta sepertimana dicadangkan oleh Rafizi.

“Dia yang buat pengisytiharan. Kita tidak tahu apa-apa. Kita ada strategi kita sendiri dan akan ikut keputusan akhir yang akan dibuat Majlis Presiden," kata Dr Mahathir.