14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

Jangan Politikkan Isu MA63, Mesti Realistik, Kata Musa

Politik
Typography

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri akan tetap membela, memperjuang serta mempertahankan apa sahaja hak juga kepentingan Sabah dan rakyat seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

“Pendirian kita dalam perkara ini adalah jelas,” katanya dalam sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Katanya MA63 antara isu yang mendapat perhatian dalam sesi perbahasan persidangan DUN kali ini, dan kerajaan negeri menjawab segala persoalan dibangkitkan selain memberikan penjelasan mengenai pendirian mereka dan fakta jelas berkaitan langkah yang diambil berhubung perkara itu.

Menurutnya, kerajaan negeri bersikap terbuka serta mengalu-alukan pandangan bernas dan cadangan positif daripada Adun termasuk daripada parti pembangkang.

“Apa sahaja manfaat untuk rakyat dan negeri, berdasarkan undang-undang dan perlembangaan, kita menerima serta mengalu-alukan. Ini termasuklah hak dan kepentingan kita dalam MA63.

“Bagaimanapun, kita jangan mempolitikkan perkara ini, sebaliknya perlulah realistik dan menerima hakikat bahawa selama ini banyak pembangunan, kemajuan untuk rakyat dan Sabah telah disuarakan serta diperjuangkan oleh kerajaan Barisan Nasional di peringkat negeri dan persekutuan. Banyak manfaat telah dikecapi rakyat,” katanya.

Sementara itu, Musa berharap penjelasan berhubung ekonomi, kedudukan kewangan negeri dan Bajet Sabah 2018 pada ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan Sabah semalam dapat memberi gambaran dan kefahaman sebenar kepada wakil rakyat termasuk daripada pembangkang.

“Ia penting supaya rakyat mendapat gambaran sebenar dan tidak terpengaruh dengan tohmahan pihak tertentu yang hanya mengeksploitasi atau memutarbelitkan perkara ini untuk kepentingan mereka,” katanya.

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata Bajet Negeri 2018 berjumlah RM4.104 bilion yang merupakan bajet lebihan itu membuktikan kerajaan negeri melaksanakan pengurusan kewangan dengan efisien dan efektif.

“Apa yang penting kita perlu terus bersatu padu, bekerjasama, berganding bahu dalam menjayakan apa juga perancangan dan agenda yang telah ditetapkan untuk rakyat dalam Bajet Negeri 2018.

 

“Sekarang adalah masa untuk bekerja selain memastikan setiap perancangan dan agenda pembangunan termasuk segmen serta sektor diberikan perhatian dalam peruntukan khas dapat disalurkan dan dilaksanakan dengan cekap bagi manfaat rakyat khususnya golongan memerlukan,” katanya. – BERNAMA