14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

#PAU2017 : Puteri Hargai Keprihatinan Najib Martabatkan Wanita, Golongan Muda Dalam Bajet 2018

Politik
Typography

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia hari ini melahirkan rasa penghargaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran keprihatinan beliau merealisasikan cadangan organisasi tersebut dalam usaha memperkasakan peranan wanita dan golongan muda tanah air.

Menurut Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, perbincangan yang dibuat dalam satu sesi perbincangan meja bulat bersama 17 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) 17 NGO Wanita dan Sahabat PUTERI BN telah didengari oleh Najib dan seterusnya memasukkan cadangan tersebut dalam pembentangan Bajet 2018 lalu.

“Sebelum pembentangan Bajet 2018 oleh YAB Perdana Menteri, PUTERI UMNO telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat berhubung harapan dan aspirasi wanita muda terhadap Bajet 2018.

“Pergerakan PUTERI UMNO ingin menyatakan penghargaan yang tinggi terhadap YAB Perdana Menteri kerana turut memasukkan beberapa cadangan PUTERI UMNO seperti yang kita usulkan ke dalam Bajet 2018.

“Selagi PUTERI UMNO berpaksi, selagi itulah kami akan berjuang demi kemaslahatan wanita muda Malaysia,” katanya semasa ucapan persidangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Ab Aziz Kaprawi, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usul wanita muda yg telah diberi perhatian oleh Najib termasuk ADAM 50, penambahan peruntukan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), peruntukan untuk usahawan muda, dana untuk memudahkan generasi muda membuat pinjaman, kemudahan ibu yan g mengandung dan penyediaan lebih banyak taska di premis – premis kerajaan.

“Perdana Menteri turut mengisytiharkan tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

“Pergerakan PUTERI UMNO menegaskan untuk memberikan komitmen yang tinggi untuk turut bersama menjayakan objektif Bajet 2018,” katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati turut memberi penekanan terhadap peranan wanita yang bukan hanya dalam pembangunan institusi kekeluargaan, malah memainkan peranan utama dalam pembinaan tamadun, berdasarkan kisah – kisah terdahulu.

“Ketika Barat berbahas tentang keperluan untuk memberikan kedudukan sama rata terhadap wanita, Islam sejak 1400 tahun yang lalu telah meletakkan syurga di bawah tapak kaki kaum Hawa

“Malah dalam sejarah peradaban Islam, peranan wanita tidak hanya dicatatkan dalam membangunkan institusi kekeluargaan, tetapi memainkan peranan yang utama dalam pembinaan,” ujarnya.